Nahas bas ekspres di Muar: Abang bersyukur adik hanya alami luka kecil

Bernama
Disember 24, 2016 14:16 MYT
Keadaan lokasi kejadian di mana bas ekspres menjunam ke cerun hingga menyebabkan 14 orang kehilangan nyawa. - Foto Bernama
"Alhamdulillah, adik saya hanya cedera ringan," kata Mohd Juzaimy Zakaria yang amat bersyukur kerana adiknya selamat dalam nahas bas ekspres di KM137.3, Lebuhraya Utara Selatan arah utara berdekatan kawasan rehat dan rawat Pagoh, awal pagi ini.
Katanya beliau terus bergegas ke sini sebaik menerima telefon daripada adiknya yang memaklumkan mengenai kemalangan itu, sambil menyatakan rasa amat simpati dengan keluarga mangsa lain.
Adiknya yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik kini menjalani latihan praktikal di sebuah hospital pakar KPJ di Johor Bahru, katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, tempat adiknya dirawat.
Mohd Juzaimy, 34, berkata beliau sepatutnya mengambil adiknya di Seremban, kerana ada perjumpaan keluarga.
Katanya adiknya memberitahu ketika kejadian dia sedang tidur dan hanya tersedar apabila terpelanting ke bahagian depan dan mendapati banyak penumpang turut tersepit di kawasan sama.
BACA: Bas dipandu laju sebelum hilang kawalan
Hasil siasatan awal polis mendapati bas dipercayai dipandu laju lalu terjunam ke dalam curam sedalam kira-kira 10 meter sebelum merempuh benteng konkrit terowong di Kampung Jayo.
Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima panggilan kecemasan pada 3.59 pagi dan tiba di tempat kejadian 45 minit kemudian bersama 27 anggota dan tiga jentera. Operasi selesai sepenuhnya pada 7.10 pagi tadi.
Sebanyak 14 penumpang maut dalam nahas itu terdiri daripada enam lelaki dan lapan perempuan termasuk seorang kanak-kanak.
Sementara 16 penumpang lagi cedera terdiri daripada tujuh lelaki warga tempatan, enam warga Singapura (lima lelaki dan seorang perempuan), dua lelaki warga Myanmar dan seorang perempuan yang belum dikenal pasti identitinya.
-- BERNAMA
#bas ekspres #kemalangan #mohd juzaimy zakaria #Muar #Pagoh #PLUS
;