'Nafkah terakhir' RM86,358 diterima selepas enam bulan ketua keluarga meninggal dunia
Vivi Sumanti
Ogos 14, 2020 13:43 MYT
Ogos 14, 2020 13:43 MYT
Walaupun sudah meninggal dunia enam bulan lalu, namun seorang pereka grafik, Mohd Rafiq Ismail, 38,
meninggalkan 'nafkah terakhir' berjumlah RM86,358 kepada isteri dan dua orang anak yang ditinggalkannya.
Isteri Allahyarham, Fadilah Ibrahim, 37, menerima wang berkenaan hasil pampasan caruman suaminya bersama Takaful Ikhlas Family Berhad.
Allahyarham Mohd Rafiq meninggal dunia pada 21 Februari lalu akibat serangan angin ahmar.
Cek wang pampasan disampaikan Pengarah Agensi Takaful Ikhlas Kelantan, Datuk Azhar Mohamad kepada ibu Allahyarham Mohd Rafiq, Nik Azizah Nik Abdul Rahman, 66.
Menurut Nik Azizah, wang pampasan berkenaan akan diserahkan kepada menantunya untuk digunakan bagi membesarkan dua cucunya.
"Wang ini akan digunakan bagi perbelanjaan menantu, Fadilah yang kehilangan suami dan membesarkan cucu-cucu saya.
"Saya ucapkan terima kasih kepada pihak yang menguruskan tuntutan polisi arwah anak yang meninggal dunia di usia muda," katanya dalam majlis penyampaian cek berkenaan di Jelawat, di sini.
Sementara itu, Azhar berkata, wang pampasan berkenaan diterima keluarga Allahyarham yang mencarum di bawah pelan simpanan takaful dengan syarikat Takaful Ikhlas Family Berhad.
"Allahyarham Rafiq mencarum sebanyak RM100 sejak 10 tahun lalu melalui Encik Bukhary Mamat Ramli.
"Hasil caruman, keluarganya mendapat lebih RM86,000 pulangan dan pampasan selepas meninggal dunia akibat masalah kesihatan," katanya.
Beliau berkata, pampasan sebanyak itu dapat membantu meringankan beban keluarga yang kehilangan ketua keluarga secara tiba-tiba.
Katanya, masyarakat perlu sedar kebaikan mendapatkan perlindungan diri dan simpanan sebagai jaminan sekiranya berlaku kejadian tidak diingini seperti kemalangan, penyakit dan sebagainya.
#meninggal dunia
#Mohd Rafiq Ismail
#pampasan caruman
#pereka grafik
#takaful
#Takaful Ikhlas Family Berhad