Nafi tabur 'gula-gula': Peruntukan telah lulus lebih awal - Salahuddin
Harits Asyraf Hasnan
Oktober 21, 2019 16:56 MYT
Oktober 21, 2019 16:56 MYT
Datuk Seri Salahuddin Ayub hari ini mempertahankan tindakannya mengumumkan peruntukkan RM3 juta bagi projek naik taraf tiga jeti nelayan di Parlimen Tanjung Piai, walaupun dikecam blok pembangkang.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu menegaskan sebagai menteri beliau berhak membuat sebarang pengumuman berdasarkan peruntukan diberikan kerajaan kepada kementeriannya, asalkan ia dapat membantu dan menggembirakan rakyat.
“Kalau nelayan jatuh jeti runtuh macam mana. Peruntukan sudah sampai maka saya kena umumkan. Takkanlah hendak tunggu, saya tidak alergi atau takut hendak umumkan peruntukan bila berlakunya pilihan raya.
“Tugas menteri sentiasa mengumumkan peruntukan dan perolehan yang terjamin, polisi kepada rakyat dan saya akan lakukan sepanjang masa. Saya tak tunggu waktu tertentu,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen hari ini.
Tambahnya, beliau yang sering ke Tanjung Piai turut dihujani dengan keluh kesah rakyat yang turut menjadi perhatian penyandang kerusi itu, Dr Md Farid Md Rafik.
“Saya dilahirkan di Tanjung Piai, itu adalah kampung saya. Setiap minggu selepas balik dari Pulai, saya akan tidur di rumah saya. Setiap pagi kadang-kadang rakyat jumpa saya nyatakan isu dan masalah mereka.
“Saya cuba penuhi, antaranya melibatkan jeti nelayan uzur dan masih tidak dibangunkan. Saya akan lakukan sepanjang masa (umumkan peruntukan), saya tidak tunggu waktu tertentu,” katanya.
Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan pusat setakat ini sudah mengumumkan projek bernilai RM7.3 juta dalam masa kurang seminggu menjelang PRK Tanjung Piai, pada bulan depan.
#Malaysia Baharu
#Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani
#Najib Razak
#pembangkang
#pilihan raya
#PRU14
#rakyat
#Salahuddin Ayub
#Tanjung Piai Memilih