Nafi berlaku di Kuil Kaliamma

Sinar Harian
Ogos 5, 2019 07:37 MYT
Sharmila menunjukkan surat kebenaran polis bagi upacara keagamaan di kuil tersebut. - Foto Sinar Harian
Kuil Kaliamma Bestari Jaya kesal dengan dakwaan pihak tertentu yang melaporkan terdapat pergaduhan dalam upacara keagamaan di kuil berkenaan.
Ketuanya, Sharmila Devi berkata, dia terkejut apabila menerima banyak panggilan telefon sejak awal pagi Isnin mengenai pergaduhan di kuil berkenaan sehingga mendatangkan kecederaan kepada polis dan orang awam.
"Maklumat ini tidak tepat kerana pergaduhan bukan berlaku di kuil ini, sebaliknya ketika perarakan di sebuah lagi kuil di Sungai Darah," katanya.
Sharmila mendakwa, ketika kejadian, kira-kira 1,000 penganut Hindu melakukan upacara keagamaan di kuil berkenaan.
"Saya anggar kira-kira jam 8.30 malam kami masih bersembahyang di kuil ini dan mula berarak pada jam 9.30 malam.
"Saya malu apabila nama kuil ini dikaitkan dengan pergaduhan tersebut, sedangkan upacara berlangsung tanpa ada pergaduhan," katanya.
BACA: 28 ditahan susulan insiden pergaduhan di kuil Bestari Jaya - Polis
Menurutnya lagi, pihaknya turut mendapat kelulusan polis bagi mengadakan upacara keagamaan.
"Kami dah dapat permit pada 17 Julai lalu bagi tujuan perarakan tahunan kuil," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Md Asri A Wahab berkata, kejadian berlaku di satu lorong masuk ke sebuah kuil di Sungai Darah.
"Pergaduhan berlaku ketika kumpulan terbabit dalam perjalanan ke sebuah kuil di Sungai Darah.
"Kuil Kaliamma Bestari Jaya tidak berlaku sebarang kejadian tersebut," katanya.
Menurutnya, sehingga kini keadaan di kawasan pergaduhan kembali tenang dan terkawal.
"Tiada sebarang kekecohan berlaku dan kami giat melakukan pemantauan dari masa ke masa," katanya.
BACA: Anggota polis cedera diserang dalam pergaduhan ketika perarakan keagamaan
Dalam pada itu, Md Asri menegaskan, polis masih memburu beberapa lagi suspek yang terlibat dalam pergaduhan tersebut.
"Kita masih gerakkan usaha mengesan beberapa ketua kumpulan yang melarikan diri," katanya.
Sebelum ini dilaporkan seorang anggota polis menerima enam jahitan selepas ditetak ketika cuba meleraikan pergaduhan ketika berarak dalam satu upacara keagamaan di Sungai Darah, Kuala Selangor pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, seorang awam turut dilaporkan putus sebahagian tapak tangan kiri akibat ditetak dengan parang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, pergaduhan itu tercetus ketika perarakan Chariot (keagamaan) sedang berlangsung sebelum dua kumpulan bertengkar mengenai pemasangan khemah.
#Bestari Jaya #Fadzil Ahmat #jenayah #kecederaan #Kuala Selangor #kuil #Kuil Kaliamma #Md Asri A Wahab #pemasangan khemah #perarakan keagamaan #pergaduhan #permit #polis #siasatan #suspek #upacara keagamaan
;