NAFAS perkenal Kit Pertanian Bandar, galak lebih ramai tanam sayur di rumah

Bernama
September 15, 2024 05:15 MYT
Demonstrasi penggunaan Kit Pertanian Bandar oleh NAFAS sempena MAHA 2024 di MAEPS, Serdang, 15 Sept 2024. --fotoBERNAMA
SERDANG: "Satu rumah, satu tanaman", itulah yang menjadi aspirasi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dalam memperkenalkan Kit Pertanian Bandar buat orang ramai.
Ketua Jabatan NAFAS Agri Services Sdn Bhd Abdul Khaliq Rahim berkata dengan pengenalan kit berkenaan, NAFAS berharap ia akan dapat memudahkan lebih banyak keluarga di kawasan bandar untuk mula menanam sayur di rumah masing-masing.
Beliau berkata kit yang dijual pada harga RM40 itu lengkap dengan segala keperluan untuk menanam sayur di rumah yang mengandungi bekas tanaman, tanah, benih dan baja 15/15/15 keluaran NAFAS.
"Kita memang ingin galakkan supaya setiap rumah mempunyai satu tanaman kerana di samping satu amalan yang lestari, ia juga dapat membantu untuk menampung sedikit beban kos sara hidup.
"Dengan kit ini, orang ramai boleh dapati bahawa ia sebenarnya sangat mudah untuk menanam sayur sendiri di rumah dan sayur-sayuran yang disediakan juga adalah jenis yang mudah tumbuh dan dijaga," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi demonstrasi Kit Pertanian Bandar semasa Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di sini semalam.
Abdul Khaliq berkata setiap kit boleh digunakan bagi tiga atau empat kitaran tanaman dengan setiap kitaran mengambil masa kira-kira sebulan sebelum sayuran yang ditanam matang dan sedia untuk dituai.
Orang ramai boleh mendapatkan kit itu pada harga istimewa iaitu RM35 di reruai NAFAS sepanjang MAHA 2024 sehingga 22 Sept ini, kata beliau.
"Kit ini juga boleh dibeli di pejabat-pejabat NAFAS, laman Shopee Pemasaran NAFAS serta agen yang dilantik," tambahnya.
-- BERNAMA
#Kit Pertanian Bandar #NAFAS #MAHA 2024 #tanam sayur di rumah
;