Jurucakapnya Datuk Ghazali Hassan sebaliknya berkata NAFAS telah menerima kontrak bekalan baja itu secara rundingan terus bagi pembekalan dan penghantaran baja kepada petani atau pesawah melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seluruh negara.
"Untuk kerja-kerja pembuatan baja, hampir kesemua (kecuali jika ada isu kritikal) dibuat di kilang baja NAFAS di Gurun, Kedah yang 80 peratus sahamnya dimiliki oleh pertubuhan manakala 20 peratus oleh Petronas.
"Secara ironinya, kilang itu milik petani dan pesawah yang juga ahli Peladang seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata untuk kontrak sesi terkini, nilai kontrak NAFAS di bawah SBPKP dan SIPP bagi tempoh bermula 15 Sept 2021 hingga 31 Dis tahun ini ialah RM1.8 bilion untuk lima musim.
Bagi tempoh Julai 2021 hingga 14 Sept 2021 pula, NAFAS tiada kontrak rasmi pada masa itu tetapi kerja-kerja pembekalan dan penghantaran baja terpaksa dibuat kerana keperluan yang mendesak oleh pesawah yang sudah mula menanam padi.
Beliau berkata sekiranya NAFAS tidak membuat pembekalan, ia boleh menyebabkan berlaku isu nasional dan isu protes selain menjejaskan pendapatan dan pengeluaran padi negara.
Ghazali berkata berikutan itu pertubuhan itu terpaksa membuat pengeluaran dan penghantaran baja dengan menggunakan sumber kewangan sendiri berjumlah lebih RM248 juta.
"Sekitar suku keempat 2021 dan suku pertama serta kedua 2022, semasa kerja-kerja pembekalan itu dilakukan telah berlaku situasi kenaikan harga bahan mentah baja di seluruh dunia antara 100 hingga 400 peratus, menyebabkan harga baja naik mendadak.
"Keadaan itu menyebabkan bekalan bahan mentah kepada NAFAS dan kilang swasta yang lain terputus. Berikutan itu pada Mac dan April 2022 kilang baja NAFAS di Gurun, terpaksa shut down lebih 41 hari menyebabkan ketidakcukupan stok baja hampir 30,000 metrik tan bagi pembekalan suku kedua dan ketiga tahun berkenaan kepada petani dan pesawah seluruh negara.
"Ekoran NAFAS terpaksa membuat pembelian baja secara kecemasan (darurat) dan pada Jun 2022, Nafas telah membuat pembelian baja berjumlah sekitar RM57 juta dengan kuantiti sebanyak 16,313 metrik tan dengan kadar sekitar RM3,500 per tan," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menegaskan beliau menyerahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terhadap NAFAS dan dakwaan penglibatan kartel dalam pengedaran serta pembekalan kontrak baja padi.
Anwar yang juga Menteri Kewangan dipetik berkata, pihak berkuasa mempunyai hak untuk menjalankan siasatan terhadap mana-mana agensi kerajaan.
-- BERNAMA