NAFAS komited bantu kerajaan tangani isu bekalan beras putih tempatan

Bernama
Mac 22, 2024 06:10 MYT
Zamri berkata rantaian pembekalan yang dimiliki NAFAS dapat menangani isu bekalan BPT dan juga membolehkan beras didapati pada harga berpatutan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) melalui rantaian pembekalannya di seluruh negara komited dalam membantu kerajaan menangani isu bekalan Beras Putih Tempatan (BPT).
Pengerusi Jemaah Pengarah NAFAS Datuk Zamri Yaakob dalam kenyataan semalam berkata NAFAS selaku pengeluar dan pembekal bagi keperluan baja negara melalui skim subsidi kerajaan kepada hampir 200,000 pesawah, mampu untuk terlibat secara langsung dalam rantaian pembekalan beras negara.
"Kerjasama strategik aktif bersama 14 Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan 280 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) seluruh Malaysia berupaya untuk membantu mengeluar dan mengedar beras tempatan melalui kemudahan sedia ada seperti kilang-kilang memproses padi, pusat pembelian dan pengumpulan padi, lesen pengilang dan pemborong," katanya.
Zamri berkata rantaian pembekalan yang dimiliki agensi berkenaan dapat menangani isu bekalan BPT dan juga membolehkan beras didapati pada harga berpatutan agar kos sara hidup dalam industri beras diselaraskan.
"Dengan pelaksanaan strategi ini, ia secara langsung dapat meningkatkan keterjaminan makanan, mengurangkan risiko krisis beras pada masa depan dan mencapai matlamat kebergantungan beras yang lebih rendah," katanya.
Menurut Zamri, komitmen NAFAS berkenaan juga merupakan antara usaha penting dalam menjamin sekuriti makanan dalam negara.
NAFAS, katanya turut komited untuk bekerjasama bersama agensi-agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan bagi memperhalusi pelan tindakan jangka panjang, memastikan industri padi dan beras terus mampan, menjaga kepentingan serta kebajikan pesawah serta meningkatkan produktiviti pengeluaran beras negara.
-- BERNAMA
#NAFAS #beras putih tempatan #pertubuhan peladang #pesawah
;