Nafas baru Rakan Muda: Daripada belia untuk belia
Khairunnisa Kasnoon
Februari 17, 2015 21:22 MYT
Februari 17, 2015 21:22 MYT
Program Rakan Muda diberi nafas baru dan dijenamakan semula dengan tumpuan diberikan kepada penyerlahan kreativiti dan bakat belia.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memaklumkan, berbeza dengan Rakan Muda 21 tahun dahulu, program kali ini akan menyaksikan belia sendiri yang akan merancang program mereka sendiri. Sementara kerajaan hanya akan menjadi pemudah cara bagi memastikan ia dilaksanakan dengan lancar.
“Kerana Rakan Muda dulu ditentukan oleh kerajaan. Kerajaan yang anjurkan program, anda datang. Sekarang ini, dah berubah”,
“Sekarang, beri orang muda atur sebab mereka ni bukan nak datang program kerajaan lagi. Kalau kerajaan yang buat mereka tidak mahu datang,” ujar Khairy selepas melancarkan penjenamaan semula Program Rakan Muda di sini.
Golongan belia kini mahu penglibatan mereka bukan hanya sekadar memenuhi majlis tetapi turut menyumbang idea kepada sesuatu majlis atau program tersebut.
“Jadi kita serahkan kepada mereka. Anda berikan idea anda, tunjuk bakat anda dan kami (kerajaan) akan membimbing, buat penilaian dan pemantauan,” jelasnya lagi.
Untuk tujuan itu, geran RM10 juta diperuntukkan kepada Rakan Muda bagi merealisasikan program mereka.
“Apabila kita bagi duit kita kena pastikan mereka gunakan dana tersebut pada jalan yang betul. Kerajaan hanya jadi pemudahcara kepada mereka,” kata Khairy.
Satu platform online akan diwujudkan bagi peserta memohon geran yang diperuntukkan.
“Permohonan yang berjaya adalah kepada projek atau program yang menyerlahkan bakat dan bakat itu digunakan untuk sesuatu perkara positif yang boleh membantu pembinaan negara dan kerja-kerja komuniti,” tambahnya.
Portal tersebut akan dilancarkan Mei ini sempena Festival Belia nanti.
Lapan mentor diperkenalkan sebagai contoh projek yang akan dilaksanakan dalam Program Rakan Muda Baru.
Antara mentor diperkenalkan termasuk Joe Ipoh – Mentor dalam sukan ekstrem; papan selaju dan Megat Shahrizal – Mentor dalam bidang seni; mengetengahkan seni wayang kulit kepada anak muda.
Untuk permulaan, Rakan Muda akan menjelajah ke seluruh negara bermula Mac ini bagi memperkenalkan projek terbabit melalui bengkel yang bertujuan memudahcara perkongsian pengalaman dan ilmu antara ahli.
Selain itu, jelajah rakan muda juga akan mengenal pasti bakat-bakat baru dalam kalangan belia tanah air.
Had umur Rakan muda bermula seawal usia 15 tahun hingga 30 tahun.