NAFAS, ANGKASA usahakan tanaman jagung bijirin seluas 16,000 hektar - Ismail Sabri

Fareez Azman
Jun 14, 2022 17:36 MYT
Menurut Perdana Menteri, langkah proaktif itu dijangka dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap keperluan import bahan mentah khususnya jagung bijirin. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kerajaan menyambut baik inisiatif Pertubuhan Kebangsaan (NAFAS) dan Lembaga Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dalam mengusahakan tanaman jagung bijirin melibatkan kawasan seluas 16,000 hektar di seluruh negara.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, langkah proaktif itu dijangka dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap keperluan import bahan mentah khususnya jagung bijirin sebagai makanan ternakan ayam.
"NAFAS dan ANGKASA akan lebih proaktif dalam industri penanaman jagung bijirin, bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bahan mentah untuk makanan ayam.
"Bagi tujuan itu NAFAS telah mengenal pasti kawasan seluas 12,140 hektar di Kelantan dan Terengganu yang sebelum ini ditanam dengan tanaman tembakau untuk tanaman jagung bijirin.
"ANGKASA telah mengenal pasti kawasan seluas 4,000 hektar tanah di seluruh negara dengan kerjasama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan," jelasnya dalam kenyataan media pada Selasa.
Tambah Ismail Sabri, ia selaras dengan saranan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), yang mahu kerjasama awam dan swasta diperkukuh bagi meningkatkan hasil pertanian khususnya industri ternakan ayam.
Menerusi langkah itu, sebanyak lima tan jagung bijirin mampu dikeluarkan bagi setiap hektar tanaman itu.
"NAFAS menyasarkan untuk menguasai 20 peratus pasaran dengan pengeluaran sebanyak 144 juta ekor setahun, manakala ANGKASA sebanyak 30 juta ekor setahun.
"NAFAS dan ANGKASA akan lebih proaktif dalam industri penanaman jagung bijirin, bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bahan mentah untuk makanan ayam," jelasnya lagi.
Mengulas lanjut jelas Perdana Menteri, kedua-dua agensi itu akan terlibat dalam ekosistem industri ayam bermula daripada anak ayam, makanan ternakan, vaksin, reban, pusat pemprosesan sehingga pemasaran kepada pengguna.
#NAFAS #Angkasa #Perdana Menteri #ismail sabri yaakob
;