Nadma urus bencana banjir dengan baik tahun lepas - TPM Zahid

Bernama
Januari 2, 2017 09:27 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (dua, kiri) bertanya sesuatu kepada seorang mangsa banjir sewaktu meninjau keadaan pusat pemindahan mangsa banjir di Bukit Tadok pada Ahad. - Foto Bernama
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dapat menangani banjir yang melanda beberapa negeri dengan baik selepas mula melaksanakannya tahun lepas.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata setakat ini, Nadma berjaya mengendalikan pengurusan banjir dengan lebih tersusun hasil kerjasama sekretariat bencana yang ditubuhkan di pusat, negeri, daerah, mukim dan kampung.
"Selain itu, pelbagai simulasi dan ujian bencana banjir yang dijalani sebelum ini banyak membantu kita mempersiapkan diri daripada masalah yang dijangkakan di peringkat lebih awal," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat pusat pemindahan mangsa banjir di Kampung Bukit Tadok, Hulu Terengganu di sini, pada Ahad.
Seramai 152 mangsa dari 53 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan itu sejak semalam setelah rumah mereka dinaiki air akibat hujan lebat yang berterusan dari Jumaat.
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, Ketua Pengarah Nadma Datuk Zaitun Abd Samad dan Anggota Dewan Undangan Negeri Telemong Datuk Rozi Mamat.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata Nadma akan mempertingkat tahap siap siaga dan mempercepat bantuan kepada mangsa banjir ekoran peralihan musim banjir tahun ini.
"Selain itu, Nadma menggunakan contoh Kemaman Siap Siaga yang dilancarkan pada Oktober lepas sempena pelancaran bulan Siap Siaga Nasional kerana ia terbukti banyak membantu dalam menguruskan bencana banjir di daerah itu sebelum ini," katanya.
Menurutnya Nadma akan menyelaraskan bentuk bantuan awal kepada mangsa banjir bersama agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaan lain. Langkah itu bagi memastikan mangsa banjir dapat diselamatkan dengan lebih awal sebelum air bah mengancam nyawa dan memusnahkan harta benda, katanya. -- Bernama
#Agensi Pengurusan Bencana Negara #banjir #Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi #NADMA #Timbalan Perdana Menteri
;