Nadma sedia hadapi banjir gelombang kedua bila-bila masa dari sekarang
Bernama
Disember 4, 2017 20:11 MYT
Disember 4, 2017 20:11 MYT
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir gelombang kedua berikutan fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku pada 7 Dis ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata ini termasuk membekukan cuti semua anggota dan pegawai agensi keselamatan yang terlibat di lapangan termasuk Angkatan Pertahanan Awam, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat serta pegawai Nadma.
"Selain itu kita juga akan menyelaraskan aset-aset udara bagi tujuan mencari dan menyelamat yang akan dikendalikan secara antara agensi atau NBOS (Strategi Lautan Biru Kebangsaan) di mana ia dikendalikan oleh Agensi Penguatkusaan Maritim Malaysia," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat penempatan sementara mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Kompleks Gong Badak di sini hari ini.
PPS itu ketika ini menempatkan paling ramai mangsa banjir di negeri Terengganu iaitu seramai 637 mangsa daripada 145 keluarga.
Menyentuh fenomena banjir termenung yang berlaku di kebanyakan kawasan rendah di negeri yang dilanda banjir, Shahidan meminta Jabatan Pengairan dan Saliran mencari jalan penyelesaian kerana ia mengakibatkan mangsa banjir tidak dapat pulang ke rumah meskipun banjir sudah surut.
"Cara yang terbaik adalah (saliran air yang tersumbat) itu kena pam... macam di Kelantan muara Sungai Kelantan kita dapati cetek.. kalau dahulu dia guna bom untuk bolehkan air itu lalu... tapi muara sungai kena dibuka sebab mudahkan air termenung itu keluar," katanya.
-- BERNAMA
#air pasang besar
#aset udara
#banjir
#banjir termenung
#gelombang kedua
#Jabatan Pengairan dan Saliran
#NBOS
#Shahidan Kassim