Nadi dijangka tingkatkan literasi digital masyarakat luar bandar
Bernama
Februari 26, 2024 04:45 MYT
Februari 26, 2024 04:45 MYT
KUALA LUMPUR: Pusat Ekonomi Digital (PEDi) yang akan dikenali sebagai Pusat Sebaran Maklumat Nasional (Nadi) berkuat kuasa 1 Mac, mampu meningkatkan literasi digital masyarakat di negara ini khususnya dalam kalangan penduduk luar bandar.
Pengerusi Persatuan Asrama Belia Malaysia (MYHA) Daerah Jempol, Negeri Sembilan, Nurulazma Shafiqah Khairul Azhar berkata, penambahbaikan fungsi PEDi kepada Nadi dapat memastikan masyarakat luar bandar tidak ketinggalan dengan kemahiran teknologi terkini.
Menurutnya, peranan Nadi penting dalam memajukan pemikiran warga desa terutamanya tentang pemahaman dunia digital seperti teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dapat dimanfaatkan oleh penduduk luar bandar terutamanya generasi muda.
"Penjelasan tentang AI perlu dilakukan secara serius seperti perbanyakkan program di pusat Nadi, masyarakat secara amnya mengetahui tentang AI tetapi tidak mengetahui bagaimana pelaksanaannya serta fungsinya yang dapat dimanfaatkan dalam urusan harian," katanya kepada Bernama.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil pada Isnin mengumumkan penjenamaan semula PEDi yang akan dikenali sebagai Nadi berkuat kuasa 1 Mac.
Fahmi berkata, seiring nama baharu berkenaan, peranan kesemua 911 pusat Nadi atau PEDi sebelum ini di seluruh negara, termasuk 186 lagi yang akan diwujudkan sepanjang tahun ini, akan diperluaskan.
Sementara itu, Pengurus PEDI Balik Pulau, Pulau Pinang, Nor Hazwani Salleh berkata, pihaknya telah bersedia untuk meningkatkan kepelbagaian fungsi di PEDI yang akan ditukar nama sebagai Nadi antaranya memberi pendedahan kepada komuniti berkenaan AI.
"Memang kita ada dimaklumkan PEDi akan ditukar kepada Nadi dengan beberapa penambahbaikan. Kita telah bersiap sedia untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada komuniti dan bukan sahaja hanya menyalurkan maklumat daripada kerajaan.
Selain itu, rata-rata pengunjung PEDi di beberapa negeri turut berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan, selain ia memudahkan urusan melibatkan pencarian maklumat dan pendaftaran inisiatif yang disediakan oleh kerajaan.
Seorang pengunjung PEDi di PULAU PINANG Ruzita Siraj, 40, berkata beliau lebih suka datang ke PEDI untuk melakukan pendaftaran berkaitan kerajaan seperti Pangkalan Data Utama (PADU) kerana kemudahan internet yang pantas dan hanya mengambil masa 10 minit untuk diselesaikan.
Bagi pengunjung yang sering ke PEDI di Jempol, NEGERI SEMBILAN, Nor Lela Zainol, 49, menyifatkan pusat itu memudahkan usahawan desa mencari maklumat untuk mengembangkan perniagaan mereka serta pelajar juga dapat memanfaatkan kemudahan pusat digital mencari bahan rujukan pendidikan masing-masing.
Beliau yakin dengan penambahbaikan yang dilaksanakan akan meningkatkan penyertaan penduduk luar bandar terutamanya usahawan tempatan dapat menambah pengetahuan tentang teknologi serta memanfaatkannya supaya menjadi lebih berdaya saing sekali gus menambah pendapatan warga desa.
Suri rumah yang juga pengusaha bakeri Noor Majidah Yusof, 40, dari Marang, TERENGGANU berkata, PEDi banyak membantu mengembangkan perniagaannya selain ia juga membantu remaja di kawasan sekitar itu untuk mendapatkan perkhidmatan Internet bagi tugasan di sekolah.
Sementara itu, Habsah Ahmad, 60, yang merupakan salah seorang pengunjung PEDi Gunung Hilir di KEDAH, berkata PEDi itu juga banyak membantu golongan warga emas sepertinya mempelajari penggunaan Internet. - BERNAMA