Na'imah peroleh pasport sementara ke London, Venice

Bernama
Julai 11, 2024 07:15 MYT
Mahkamah memerintahkan Na'imah menyerahkan pasport kepada mahkamah selepas kembali ke Malaysia sebelum atau pada 27 Julai ini. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan isteri bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid bagi mendapatkan pasport antarabangsanya buat sementara untuk pergi ke London dan Venice.
Hakim Azrul Darus membenarkan permohonan itu selepas peguam M. Puravalen yang mewakili Na'imah memaklumkan anak guamnya memohon untuk mendapatkan pasport bermula Ahad ini hingga 25 Julai dan ia tidak dibantah oleh pihak pendakwaan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fadhly Mohd Zamry mengesahkan perkara itu.
Sehubungan itu mahkamah memerintahkan Na'imah menyerahkan pasport kepada mahkamah selepas kembali ke Malaysia sebelum atau pada 27 Julai ini.
Berdasarkan afidavit sokongan permohonan itu yang diperoleh media, Na'imah berkata beliau perlu ke London, United Kingdom untuk berjumpa peguamnya Dave Vasoodaven daripada Gulbenkian Andonian Solicitors dan perlu berada di Venice bagi Pameran Seni Antarabangsa, La Biennale di Venezia dari 16 hingga 20 Julai ini.
"Saya menghadiri pameran seni ini dalam kapasiti saya sebagai Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah untuk Yayasan Ilham, sebuah yayasan bukan keuntungan yang ditubuhkan untuk menjalankan kerja-kerja filantropi dan amal, termasuk mempromosikan dan pertukaran (exchange) seni, budaya, dan pendidikan," katanya dalam afidavit itu.
Na'imah berkata pemilihan tarikh-tarikh itu disebabkan oleh temujanji yang telah ditetapkan berdasarkan masa lapang individu-individu yang beliau akan jumpa semasa perjalanan itu.
Pada 23 Jan, Na'imah, 66, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan gagal mematuhi notis agar mengisytiharkan hartanya termasuk Menara Ilham, serta beberapa aset lain di sekitar Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Pada 29 Jan, suami beliau yang berusia 85 tahun turut didakwa atas pertuduhan sama, membabitkan satu akaun bank, tujuh kenderaan mewah, 38 syarikat dan 25 hartanah.
Pertuduhan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 36(2) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009, yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA
#Na'imah Abdul Khalid #Daim Zainuddin #London #Venice