Na'imah mohon rujuk persoalan undang-undang kes tidak isytihar harta
Sinar Harian
Januari 15, 2025 16:09 MYT
Januari 15, 2025 16:09 MYT
KUALA LUMPUR: Keputusan sama ada balu bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Dr Daim Zainuddin boleh merujuk persoalan undang-undang berkenaan pertuduhan yang dihadapi berpelembagaan atau sebaliknya di Mahkamah Sesyen di sini ditetapkan pada 18 Februari depan.
Hakim, Azura Alwi menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada pihak pembelaan yang mewakili Toh Puan Na'imah Abdul Khalid sebagai pemohon dan pendakwaan selaku responden.
Pada 29 Februari tahun lalu, Na'imah memfailkan Notis Usul untuk merujuk sama ada Seksyen 30(5), 36(2) dan 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 adalah mengikut berpelembagaan atau berlawanan, ke Mahkamah Tinggi di sini.
Na'imah (dua dari kanan) hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu bagi prosiding pendengaran permohonan merujuk persoalan undang-undang berhubung pertuduhan yang dihadapinya.
Semasa hujahan, peguam, Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Na'imah, 68, berkata, sebelum ini anak guamnya dituduh mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009, namun seksyen itu mungkin melanggar perkara lima dan lapan Perlembagaan Persekutuan.
“Menurut Seksyen 30(5) Akta SPRM 2009 pula, beliau tidak berhak untuk berdiam diri daripada mendedahkan sebarang maklumat.
“Na'imah percaya, soalan yang dinyatakan di dalam Notis Usul itu, harus dirujuk ke Mahkamah Tinggi di sini, mengikut Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” katanya.
Peguam ini berkata, peruntukan tersebut mungkin melanggar hak balu Allahyarham Tun Dr Daim Zainuddin daripada mendapat perbicaraan yang adil.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah permohonan itu kerana ia tidak bermerit dan wajar ditolak oleh mahkamah.
Menurutnya, pemohon telah gagal untuk memenuhi kehendak di bawah Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman.
“Isu-isu yang ingin dirujuk oleh pemohon tersebut bukanlah melibatkan isu perlembagaan.
“Sehubungan itu, kami dengan rendah diri memohon mahkamah untuk menolak permohonan terbabit,” katanya yang hadir bersama Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How dan Mohamad Fadhly Mohd Zamry.
Mengikut pertuduhan, Na'imah, 68, didakwa sengaja memberikan satu pernyataan bertulis secara bersumpah yang tidak mematuhi terma notis bawah Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 bertarikh 8 November 2023.
Notis itu dihantar kepada tertuduh oleh seorang Pesuruhjaya SPRM pada 14 November tahun sama, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta-harta di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, pada 13 Disember 2023.
Harta itu membabitkan dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd serta dua Mercedes Benz, selain lapan hartanah membabitkan Menara Ilham dan sebuah kediaman di Bukit Tunku, di sini serta enam lagi bangunan dan lot tanah di Taman Tunku dan Bukit Tunku, di sini; Jalan Cantoment Road, Penang serta Jalan Anthinahapan, Taman Tun Dr Ismail, di sini.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan didenda maksimum RM100,000, jika sabit kesalahan.
Artikel ini diterbitkan di portal Sinar Harian