N.Sembilan sasar kehadiran 10,000 pelancong Bangladesh tahun ini

Sinar Harian
Februari 23, 2024 19:11 MYT
Nicole (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Haziz dengan Sabbir. -Foto Sinar Harian
PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan menyasarkan kehadiran 10,000 pelancong Bangladesh berpendapatan tinggi ke negeri ini tahun ini.
Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, usaha sedang dilakukan bagi menarik kemasukan pelancong dari negara itu menerusi kerjasama dengan pemain industri mereka.
"Saya difahamkan kira-kira 3,000 pelancong Bangladesh pergi ke Thailand setiap bulan dan 1,000 pergi ke Singapura sedangkan kadar pertukaran wang negara kita lebih rendah.
"Jika mereka mampu pergi ke Singapura mereka mengapa hanya 500 saja rakyat negara itu yang datang Malaysia. Jadi kita perlu ambil peluang menarik kehadiran pelancong dari sana," katanya.
Beliau berkata demikian ditemui selepas Memorandum Persefahaman (MoU) dilakukan antara antara Persatuan Hotel Negeri Sembilan (MAH) dengan ejen pelancongan terkemuka di Bangladesh iaitu, Cosmos Holiday Bangladesh, di sini, Jumaat.
Ia disempurnakan oleh Pengerusi MAH Negeri Sembilan Haziz Hassan dan Pengarah Urusan, Cosmos Holiday Bangladesh, Sabbir Ahmed.
Menurutnya, beliau mendapati salah satu faktor kekurangan pelancong dari negara terbabit disebabkan masalah permohonan visa yang mengambil masa agak lama untuk diluluskan berbanding negara jiran yang hanya mengambil masa tiga hari.
Sehubungan itu katanya, beliau akan berbincang dengan pihak berwajib bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.
"Saya rasa masalah timbul kerana mereka gunakan kriteria yang sama untuk visa pekerja dengan visa pelancong.
"Saya akan cuba berbincang dengan pihak berkenaan supaya dapat digunakan satu kriteria berlainan terutamanya untuk pelancong berpendapatan tinggi atau berprofil tinggi ini bagi menggalakkan lebih ramai yang datang ke Negeri Sembilan khususnya Port Dickson," katanya.
Tambahnya, sebagai permulaan kira-kira 160 pelancong dari negara itu akan datang ke Negeri Sembilan dijangka pada Mei ini menerusi komitmen daripada Cosmos Holiday Bangladesh.
Ujarnya, mereka difahamkan akan turun di Lapangan Terbang Melaka dan terus ke Port Dickson untuk aktiviti bermain golf.
"Keunikan dan kelebihan negara kita kerana mesra Muslim dan kebanyakan rakyat negara itu pula beragama Islam.
"Selain itu saya juga dapati mereka berminat dengan pelancongan perubatan dan pelaburan," katanya.
Dalam pada itu beliau berharap stigma negatif terhadap rakyat negara terbabit perlu diubah kerana bukan semuanya begitu.
Ini kerana katanya, ada antara mereka yang berpendidikan tinggi dan jauh berbeza dengan gaya hidup pekerja asing yang biasa dilihat di negara ini. -Sinar Harian
#pelancong Bangladesh #berpendapatan tinggi #Cosmos Holiday Bangladesh #MAH
;