N. Sembilan peruntuk hampir RM200,000 bagi pelan pembangunan santuari buaya tembaga

Bernama
Jun 7, 2022 17:28 MYT
Aminuddin berkata, buaya tembaga merupakan spesies hidupan liar yang terancam dan berstatus dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716). - Gambar/ Bernama
PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan melalui Lembaga Pelancongan negeri dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memperuntukkan hampir RM200,000 bagi kajian pelan induk pembangunan ekopelancongan Santuari Buaya Tembaga di Sungai Linggi di sini.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata peruntukan itu termasuk untuk survei keberadaan populasi buaya bagi tujuan pembiakan dan pemeliharaan reptilia berkenaan sekali gus memberi impak positif kepada kemajuan Port Dickson serta pembangunan ekonomi Negeri Sembilan.
"Kawasan pembangunan ekopelancongan santuari berkenaan memainkan peranan penting sebagai elemen kestabilan biodiversiti terutama bagi spesies buaya itu dan hidupan akuatik lain selain dapat merancakkan lagi sektor pelancongan dalam dan luar negeri.
"Justeru, konservasi spesies buaya tembaga ini perlu dijalankan secara komprehensif bagi memastikan spesies ini menyumbang dalam ekosistem semula jadi sungai dan tidak terus diancam kepupusan akibat kehilangan habitatnya," katanya kepada pemberita selepas meninjau santuari itu di sini hari ini.
Beliau berkata santuari berkeluasan 1.37 hektar itu diwartakan sebagai rizab Santuari Buaya Tembaga pada 4 Mei 2021 dan cadangan pembangunan berimpak rendah kepada kawasan santuari itu dilaksanakan bagi menjaga spesies buaya tembaga yang menjadikan Sungai Linggi sebagai habitatnya sejak sekian lama.
Aminuddin berkata melalui hasil kajian di sungai itu, sebanyak 164 cerapan buaya tembaga direkodkan pada tahun lepas dengan anggaran saiz terbesar dicatatkan ialah sepanjang lima meter manakala saiz terkecil ialah kurang satu meter.
Beliau berkata buaya tembaga merupakan spesies hidupan liar yang terancam dan berstatus dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri turut memperuntukkan RM150,000 kepada Jabatan Perikanan Negeri Sembilan pada tahun lepas bagi mengkaji kesesuaian tapak kelong perikanan rekreasi di Port Dickson sekali gus menjadikan daerah itu sebagai ikon perikanan rekreasi.
"Ia juga dapat memberikan keselesaan kepada kaki pancing dan menarik tumpuan pelancong seterusnya dapat meningkatkan ekonomi rakyat di negeri ini. Pada 2008, terdapat lima kelong perikanan rekreasi di Port Dickson," katanya.
-- BERNAMA
#Negeri Sembilan #santuari buaya tembaga #Sungai Linggi #buaya di sungai linggi
;