N.Sembilan optimis negeri pertama capai 60 peratus pelajar ikuti STEM - Aminuddin
Bernama
Mac 24, 2023 05:32 MYT
Mac 24, 2023 05:32 MYT
SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan optimis menjadi negeri pertama mencapai sasaran 60 peratus pelajar mengikuti aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sekali gus melanjutkan pengajian tinggi dalam bidang itu.
Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata ia penting lebih-lebih lagi Negeri Sembilan kini beralih daripada negeri pertanian ke perindustrian yang pastinya memerlukan lebih ramai tenaga dan kepakaran baharu untuk membangunkan sektor berkenaan pada masa akan datang.
"Berdasarkan objektif penubuhan pusat STEM negeri serta perancangan dan kerjasama bersama pemegang taruh, pensyarah di peringkat pengajian tinggi, saya yakin kita mampu mencapai sasaran itu," katanya ketika berucap merasmikan pembukaan Pusat STEM Negeri @ STEM Hub N9 semalam.
Beliau berkata kerajaan negeri juga memperuntukkan RM100,000 bagi memastikan pusat berkenaan berfungsi dengan baik selain menjamin kelangsungannya pada peringkat awal, sekali gus berupaya menjadi contoh dalam negara.
Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Dr Roslan Hussin berkata pusat itu berperanan sebagai pusat sehenti dalam pelaksanaan aktiviti berkaitan bidang STEM selain memperkasakan bidang digital dalam pendidikan.
"Saya yakin dengan adanya pusat yang pertama dalam negeri di Sektor Sumber Teknologi Pendidikan ini, ia bakal menarik minat semua murid, guru dan komuniti dalam bidang STEM seterusnya dapat mencapai sasaran yang dihasratkan kerajaan," katanya.
Beliau berkata Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, komuniti dan sekolah boleh melaksanakan segala aktiviti berkaitan STEM dengan kemudahan terkini di pusat berkenaan.
-- BERNAMA