N. Sembilan kenal pasti empat lokasi denai sungai tarikan pelancongan baharu

Bernama
Mac 27, 2021 07:28 MYT
Datuk Seri Aminuddin Harun ketika menyertai aktiviti gotong royong mengutip sampah di sepanjang susur Sungai Linggi pada Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Sembilan di Jeti Nelayan Pengkalan Kempas. - Bernama
PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan mengenal pasti empat lokasi denai sungai untuk dijadikan sebagai tarikan baharu pelancongan negeri di bawah Program Denai Kebangsaan.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata empat denai sungai berkenaan terletak di Kuala Pilah, Tampin, Jempol dan Rembau melibatkan satu kilometer setiap daerah.
"Pada mulanya kami mencadangkan 10 kawasan tapi kami mendapat empat lokasi itu...ini merupakan projek Kerajaan Persekutuan jadi kerajaan negeri menyambut baik dan kami akan bermula di kawasan tersebut.
"Pembinaan denai sungai ini dicadangkan merangkumi pembinaan laluan pejalan kaki, laluan berbasikal dan infrastruktur yang boleh dimanfaatkan bagi penggunaan orang ramai," katanya kepada pemberita selepas program perasmian Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2021 di sini, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Dr Razali Ab Malek dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan.
Aminuddin berkata, sehingga kini denai sungai sedia ada di negeri ini sepanjang 52.23 kilometer.
Sementara itu, mengenai projek Pelaburan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) bernilai RM15 bilion beliau berkata kerjaan negeri telah menghantar surat kepada kerajaan negeri Melaka bagi memperhalusi semula projek berkenaan sebelum mempersetujui perkara tersebut.
Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah atau halangan berkenaan projek berkenaan sekiranya ia dilaksanakan di negeri Melaka.
"Kami tidak mempunyai masalah cuma apa yang menjadi jadi bantahan kami adalah mereka tidak ikut peraturan dan nelayan di negeri ini tidak diberi perhatian sewajarnya," katanya.
-- BERNAMA
#denai sungai #tarikan pelancongan #negeri se bilan #Menteri Besar #Aminuddin Harun #kerajaan negeri