Myvi rempuh pasar raya di Manjung
Sinar Harian
Oktober 5, 2022 06:15 MYT
Oktober 5, 2022 06:15 MYT
MANJUNG: Sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang warga emas merempuh masuk ke dalam sebuah pasar raya di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kejadian berlaku lebih kurang jam 3.15 petang di Jalan Medan Sitiawan 1, di sini apabila kenderaan dipandu seorang wanita itu hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam pasar raya berkenaan.
Menurutnya, disebabkan kemalangan terbabit, pemandu berusia 75 tahun itu mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di Hospital Seri Manjung.
"Siasatan mendapati kes kemalangan jalan raya tersebut berlaku apabila wanita tersebut memandu dari arah sebuah kedai farmasi menghala ke arah sebuah stesen minyak di kawasan tersebut.
"Apabila sampai di simpang tiga pasar raya berkenaan, pemandu kereta tersebut telah hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh pasar raya yang berada di kiri jalan," katanya menerusi satu kenyataan media pada Rabu.
Menurutnya, kejadian tersebut juga turut tular di dalam Facebook setelah dimuat naik seorang pengguna media sosial itu di dalam Komuniti Seri Manjung.
Nor Omar berkata, kes disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) bagi kesalahan gagal mengawal kenderaan yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 jika sabit kesalahan.
"Pihak Ibu Pejabat Polis (IPD) Manjung memohon kerjasama orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau mana-mana balai polis yang berhampiran bagi membantu siasatan.
"Pihak polis juga meminta pengguna jalan raya untuk sentiasa berhati -hati dan mematuhi peraturan serta undang-undang jalan raya bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya, seterusnya dapat mengelak berlakunya kemalangan," katanya. - Sinar Harian