MyTravelPass dimansuhkan, boleh melancong ke luar negara mulai esok - PM

Hasimi Muhamad
Oktober 10, 2021 15:17 MYT
Ismail Sabri berkata, kebenaran tersebut juga akan mula berkuat kuasa pada 11 Oktober 2021. - Foto Astro AWANI
PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju untuk membenarkan rakyat Malaysia yang lengkap dua dos vaksinasi melakukan perjalanan ke luar negara tanpa melalui MyTravelPass Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu sekali gus menyaksikan semua rakyat Malaysia boleh ke luar negara termasuk untuk aktiviti pelancongan.
Katanya, kebenaran tersebut juga akan mula berkuat kuasa pada 11 Oktober 2021.
"Saya mendapat makluman daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), kita buka untuk semua negara tetapi masih belum membuka sempadan negara kita untuk pelancong asing.
“Kita sedang membuat kajian tentang kemasukan ini, dan mungkin kita akan mengumumkan dalam masa terdekat. Tetapi setakat hari ini, pintu masuk negara masih belum dibuka kecuali melibatkan kecemasan, perniagaan dan juga urusan rasmi.
“Tetapi untuk pelancong (asing) masih belum dibuka. Saya percaya KKM sedang menilai negara-negara yang tiada risiko langsung.
"Saya telah sebut dalam Dewan Negara, ada enam kriteria sebelum kita membenarkan sesiapa dari luar datang melancong ke negara kita," katanya dalam sidang media khas, di sini hari ini.
Walau bagaimanapun, jelas Perdana Menteri, pengembara masih perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebaik pulang ke tanah air.
Katanya lagi, ujian saringan COVID-19 juga perlu dilakukan tiga hari sebelum pulang semula ke dalam negara, dan sebaik tiba di lapangan terbang antarabangsa.
MyTravelPass dimansuhkan untuk rakyat Malaysia ke luar negara
#MyTravelPass #Jabatan Imigresen Malaysia #ismail sabri yaakob #Perdana Menteri
;