MyTeksi hanya guna teksi bermeter di Pulau Pinang

Bernama
Disember 1, 2015 00:12 MYT
Mulai Selasa, pemandu MyTeksi di Pulau Pinang akan mengenakan caj tambang bermeter yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). - Gambar hiasan
MyTeksi, aplikasi pengangkutan darat terbesar di Asia Tenggara, mengumumkan bahawa semua pemandu teksi Pulau Pinang yang berdaftar dengannya memberi komitmen untuk menggunakan tambang bermeter.
Pengurus Bandar Raya, MyTeksi Pulau Pinang Loh Ji Yuan berkata mulai Selasa pemandu MyTeksi akan mengenakan caj tambang bermeter yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
"Inisiatif ini adalah bagi menyokong keputusan SPAD bahawa semua pemandu teksi di Malaysia mesti menggunakan meter," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Trafik dan Tebatan Banjir Chow Kon Yeow.
Loh berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada misi syarikat untuk mengubah industri dalam menyediakan pengangkutan selamat, boleh dipercayai dan mudah sekali gus kesejahteraan pemandu di samping melengkapkan misi pihak berkuasa untuk mengawal industri teksi.
Sementara itu, Chow dalam ucapannya berkata dengan caj penggunaan meter yang dibuat oleh MyTeksi, ia mampu mengatasi rungutan terutama pelancong berkenaan pengenaan tambang teksi.
"Dengan adanya MyTeksi, maka ia dapat mengurangkan rungutan yang sering kita dapat daripada pelancong serta pelawat berkenaan pengusaha teksi yang tidak mahu mengikut meter dan mahu melalui rundingan harga untuk ke sesuatu destinasi di negeri ini," katanya.
Chow berkata kebanyakan pelancong memberi rungutan berhubung Pulau Pinang yang mempunyai sebuah bandar raya yang moden namun tidak mahu menggunakan meter sebaliknya masih menggunakan sistem runding harga.
Beliau turut melahirkan penghargaan kepada MyTeksi atas pelancaran penggunaaan meter tersebut yang sekali gus dapat mengatasi permasalahan yang dihadapi berhubung aspek pengangkutan di negeri itu.
#myteksi #pulau pinang #tambang meter
;