MySTEP: Kerajaan lulus lebih 2,000 peluang pekerjaan di JKM secara berperingkat
Bernama
Jun 8, 2022 17:46 MYT
Jun 8, 2022 17:46 MYT
PASIR MAS: Kerajaan meluluskan lebih 2,000 peluang pekerjaan tahun ini secara berperingkat menerusi Program Pekerjaan Jangka Pendek (MySTEP) bagi memenuhi jawatan yang diperlukan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff berkata perkara itu dilakukan kerana menyedari beban tugas pegawai di JKM yang terpaksa berdepan pelbagai masalah masyarakat seperti keganasan rumah tangga dan kes seksual dalam kalangan remaja.
"Susulan itu, pihak saya memohon kepada kerajaan supaya menambah peluang pekerjaan membabitkan tenaga kerja di JKM dalam membantu menangani masalah terbabit kerana terdapat beberapa negeri yang mempunyai jumlah penduduk padat merekodkan kes seksual tertinggi," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan tilam kepada mangsa banjir di Kampung Bendang Perol, Gual To'Deh hari ini.
Ahli Parlimen Rantau Panjang itu berkata masyarakat perlu bersama-sama menangani masalah tersebut dan tidak mengharapkan pihak berkuasa semata-mata.
"Mengenai permasalahan remaja, ibu bapa perlu memainkan peranan dan mengambil berat tentang aktiviti anak-anak terutama yang berusia 18 tahun dan ke bawah, kalau perlu tengok juga telefon bimbit mereka kerana sekarang macam-macam perkara boleh terjadi terutama di media sosial.
"Amat malang sekiranya di usia yang mentah mereka sudah terbabit dengan pelbagai masalah yang mungkin berpunca daripada tiada kawalan ibu bapa, pengaruh rakan atau tiada pegangan agama yang kukuh," katanya.
-- BERNAMA
#MySTEP
#peluang pekerjaan
#Program Pekerjaan Jangka Pendek
#jkm
#Jabatan Kebajikan Masyarakat
#Siti Zailah Mohd Yusoff