MYStartup lancar program pemecut ketiga perkasa syarikat pemula niaga
Bernama
April 19, 2024 05:45 MYT
April 19, 2024 05:45 MYT
KUALA LUMPUR: MYStartup, dengan kerjasama bersama NEXEA, sebuah firma modal teroka dan pemecut pemula niaga, terus memperkasa syarikat pemula niaga di Malaysia dengan memulakan program pemecut ketiganya MYStartup Accelerator Kohort 3.
MYStartup, inisiatif nasional yang dimulakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan diterajui oleh Cradle Fund Sdn Bhd, adalah tetingkap tunggal yang menawarkan platform yang membina pertumbuhan inklusif dan mampan untuk pengasas, pelabur, dan tenaga kerja teknologi.
MyStartup dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, sebanyak 25 syarikat pemula niaga teknologi telah disenarai pendek daripada 60 permohonan merangkumi pelbagai industri yang terdiri daripada empat sektor utama iaitu kecerdasan buatan, pembelajaran mesin, penjagaan kesihatan dan pembangunan perisian.
"Syarikat pemula niaga terpilih itu akan menjalani program pemerkayaan selama empat bulan yang bertujuan untuk memacu pertumbuhan perniagaan mereka, dalam masa yang sama memupuk persekitaran ekosistem yang berinovasi, melangkaui sempadan dan memangkin perubahan di Malaysia," katanya.
Kohort MYStartup Accelerator sebelum ini menyaksikan suntikan pelaburan yang besar untuk beberapa pemula niaga dengan nilai pelaburan sehingga RM700,000 dalam tempoh enam bulan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle, Norman Matthieu Vanhaecke berkata pemula niaga merupakan salah satu asas penting dalam pembangunan ekonomi negara.
Beliau berkata agensi itu komited dalam usaha membina sebuah ekosistem yang akan merangsang ekonomi negara melalui program pembangunan kapasiti yang bersesuaian.
"Melalui program ini, kami juga berharap untuk memberi pendedahan dan sokongan yang diperlukan supaya mereka boleh mengembangkan operasi mereka, sekali gus menjadikan pemula niaga Malaysia sebagai peneraju teknologi multinasional pada masa depan," katanya.
-- BERNAMA