MySJ Trace boleh dimuat turun bermula hari ini

Astro Awani
Disember 26, 2021 10:26 MYT
Ciri tersebut akan memberi maklumat secara live bilangan interaksi dengan pengguna lain yang juga aktifkan MySJ Trace. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Aplikasi MySejahtera kini mempunyai satu ciri tambahan bagi membolehkan pengesanan kontak rapat kepada kes positif jangkitan COVID-19.
Menurut Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, ciri terbaharu yang dikenali sebagai MySejahtera Trace (MySJ Trace) boleh dimuat turun bermula hari ini.
Dalam catatan terbaharu di akaun Twitter miliknya, Khairy berkata 'MySJ Trace' menggunakan teknologi bluetooth untuk mengesan kontak rapat yang juga mengguna ciri yang sama.
"Ciri tersebut akan memberi maklumat secara ‘live’ bilangan interaksi dengan pengguna lain yang juga aktifkan MySJ Trace," katanya.

Satu ciri baharu MySJ diperkenalkan dalam update terkini. MySJ Trace menggunakan Bluetooth untuk mengesan kontak rapat yang juga mengguna ciri yang sama. Ciri tersebut akan memberi maklumat secara live bilangan interaksi dengan pengguna lain yang juga aktifkan MySJ Trace. pic.twitter.com/o1MdYumwvG

— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) December 26, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Tambahnya ciri ini telah dihantar serentak ke Google, Apple & Huawei.
"Sudah boleh dikemaskini di Huawei. Untuk Google dan Apple masih menunggu mereka untuk menyenaraikan update baharu ini," katanya.
Dalam pada itu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata fungsi baharu itu dibangunkan bagi memenuhi keperluan program Find, Trace, Test, Isolate and Support (FTTIS).
“Bagi memastikan keberkesanan aktiviti pengesanan kontak rapat kepada kes positif jangkitan COVID-19, pengguna mestilah mengaktifkan bluetooth dalam peranti mudah alih masing-masing sepanjang masa.
“Apabila seorang individu itu disahkan positif COVID-19, notifikasi akan diperoleh menerusi aplikasi MySejahtera bagi mendapatkan kebenaran untuk berkongsi maklumat kontak rapat yang dikesan,” katanya.
#COVID-19 #MySJ Trace #Khairy Jamaluddin #pengesanan kontak rapat
;