MySel bukan untuk daftar warga asing jadi warganegara - Amirudin
Bernama
Julai 29, 2024 22:39 MYT
Julai 29, 2024 22:39 MYT
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menjelaskan bahawa pelaksanaan Program Pusat Dokumen Pengenalan Diri MySel (MySel) bukan bertujuan mendaftarkan warga asing sebagai warganegara khususnya sebagai penduduk Selangor.
Beliau berkata MySel yang diwujudkan sejak 2018 juga bukan untuk mengambil alih tugas Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), sebaliknya satu usaha bagi membantu memudah cara penduduk negeri ini yang berdepan masalah mendapatkan dokumen pengenalan diri.
"Ada pihak mencemuh dan berprasangka buruk dengan mendakwa usaha kerajaan melalui MySel adalah untuk mendaftar orang luar sebagai warganegara dan juga penduduk Selangor.
"Kerajaan negeri wujudkan MySel bukan untuk mengambil alih tugas JPN atau melaksanakan sesuatu tujuan di luar bidang kuasa atau menyalahi undang-undang kerana proses memudah cara ini akhirnya memerlukan JPN sebagai pihak berautoriti untuk membuat pengesahan," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan dokumen MySel di sini hari ini yang turut dihadiri Exco Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan V Papparaidu.
Pada majlis itu, Amirudin turut menyerahkan kad pengenalan kepada seramai 30 penerima terdiri pelbagai bangsa.
Amirudin berkata secara keseluruhan, program MySel sehingga kini membantu menyelesaikan lebih 2,000 kes berkaitan dokumen pengenalan diri daripada lebih 6,000 permohonan yang diterima dan kelulusan permohonan tertinggi diberikan kepada kaum Melayu iaitu 48 peratus diikuti kaum lain.
Beliau berkata statistik itu menafikan dakwaan bahawa kelulusan MySel lebih banyak diberikan kepada kaum bukan Melayu sekali gus menunjukkan masalah pendaftaran dokumen pengenalan diri ialah isu semua rakyat bukan tertumpu kepada sesuatu bangsa atau agama sahaja.
Antara faktor permasalahan itu disebabkan masalah sosial dan ekonomi ibu bapa atau penjaga, isu kekeluargaan seperti pendaftaran perkahwinan, isu bahasa atau komunikasi dan proses dokumentasi merumitkan seperti memerlukan pengesahan sampel asid deoksiribonukleik (DNA).
"Kerajaan menerusi MySel akan cuba menyelesaikan semua permohonan kerana tidak mahu mereka yang terlibat terlepas menikmati apa-apa program, bantuan atau insiatif yang disediakan kerajaan negeri memandangkan setiap urusan berkaitan memerlukan dokumen pengenalan diri yang sah sebelum sesuatu proses diteruskan," katanya.
-- BERNAMA