MySejahtera tidak lagi penuhi fungsi asal - MMA
Hakim Rahman
Mac 30, 2022 17:14 MYT
Mac 30, 2022 17:14 MYT
KUALA LUMPUR : Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa kerajaan mempertimbangkan untuk memanfaatkan aplikasi MySejahtera bagi objektif lain.
Presidennya Dr Koh Kar Chai berkata fungsi utama aplikasi itu sebelum ini adalah untuk tujuan pengesanan kontak rapat tetapi kini mungkin sudah tidak berkesan berikutan kes jangkitan COVID-19 yang tinggi dalam komuniti ketika ini.
"Dengan bilangan kes positif dalam kalangan kita yang tinggi, pengesanan kontak tidak lagi boleh digunakan pada skala luas kerana ia tidak akan memberikan hasil yang diharapkan," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Bagaimanapun Dr Koh berkata, aplikasi itu masih boleh digunakan untuk tujuan lain yang lebih berkesan memandangkan ia kini diguna pakai oleh sebahagian besar populasi negara.
Antaranya ia boleh diguna pakai sebagai rekod kesihatan peribadi kerana sudah sedia dihubungkan dengan identifikasi setiap individu serta tidak boleh dipindah alih.
Katanya, fungsi pengesanan kontak dalam aplikasi itu harus dikekalkan sebagai persediaan berdepan dengan pandemik lain di masa depan.
Bagaimanapun beliau turut menyatakan kebimbangan mengenai isu MySejahtera baru-baru ini dan menggesa kerajaan menyelesaikannya bagi mendapat kepercayaan rakyat.
"Melihat kepada apa yang dikongsikan di media sosial berkenaan pemilikan aplikasi ini, adalah diharapkan supaya kerajaan terus bersikap proaktif dalam menjana kepercayaan rakyat terhadap aplikasi ini.
"Ia dengan harapan supaya akhirnya aplikasi itu akan digunakan dalam pengurusan rekod kesihatan ke arah sistem penjagaan kesihatan yang berkesan untuk negara," katanya.
Mengulas lanjut Dr Koh berkata struktur kesihatan negara ketika ini kekurangan dalam sistem pengurusan rekod kesihatan populasi secara berpusat.
Katanya, aplikasi MySejahtera mungkin boleh digunakan sebagai usaha awal untuk mewujudkan rekod kesihatan elektronik individu yang boleh dibawa dan diakses oleh pengamal perubatan.