MySejahtera: Status vaksinasi bertukar tidak lengkap, bukan dihilangkan - KKM

Astro Awani
Mac 28, 2022 18:41 MYT
Status digital vaksinasi hanya akan bertukar tidak lengkap di MySejahtera bagi penerima vaksin Sinovac yang belum menerima dos penggalak. - gambar hiasan/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan bahawa status digital vaksinasi hanya akan bertukar tidak lengkap di aplikasi MySejahtera bagi penerima vaksin primer Sinovac yang belum mendapatkan suntikan dos penggalak.
Status vaksinasi tersebut tidak akan dihilangkan seperti dakwaan yang ditularkan di media sosial.
"Untuk makluman, status vaksinasi COVID-19 kepada semua penerima vaksin Sinovac berusia 18 tahun dan ke atas dan penerima semua jenis vaksin dos primer berusia 60 tahun ke atas yang masih belum mendapatkan dos penggalak hanya akan bertukar menjadi tidak lengkap.
"Ia bukan dihilangkan seperti yang dinyatakan dalam mesej tersebut,” kata KKM menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.
Minggu lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, lebih dua juta penerima vaksin Sinovac bakal kehilangan status vaksinasi lengkap menjelang 1 April ini kerana masih belum menerima dos penggalak.
#Kementerian Kesihatan #COVID-19 #KKM #Khairy Jamaluddin #dos penggalak #vaksin
;