MySejahtera: Saya sedia 'menghadap' PAC - Tengku Zafrul

Harits Asyraf Hasnan
Mac 30, 2022 10:33 MYT
Tengku Zafrul berkata proses itu perlu dihormati dan menegaskan ini bukan kali pertama beliau dipanggil memberi keterangan di hadapan PAC. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sedia untuk memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung isu aplikasi MySejahtera.
Dalam reaksi ringkasnya, Tengku Zafrul berkata proses itu perlu dihormati malah tegasnya ini bukan kali pertama beliau dipanggil memberi keterangan di hadapan PAC.
"Saya difahamkan PAC akan memanggil saya (Kementerian Kewangan) dan Kementerian Kesihatan (KKM).
"Proses ini perlu kita hormati dan kami telah dipanggil oleh PAC beberapa kali, antaranya berkenaan proses perolehan vaksin.
"Jadi, Kementerian Kewangan termasuk saya telah bersedia untuk mengadakan libat urus dengan PAC berkenaan isu ini," katanya ketika ditemu bual Astro AWANI di Pusat Penyiaran Asia (AABC), Bukit Jalil hari ini.
BACA: MySejahtera: PAC akan mula prosiding, KJ dan Tengku Zafrul dua saksi terawal - Wong Kah Woh
PAC dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa akan memanggil dua menteri berhubung pembangunan dan perolehan aplikasi MySejahtera dalam prosiding yang dijangka bermula pertengahan bulan depan.
Pengerusinya, Wong Kah Woh, berkata sebagai permulaan, PAC akan memanggil Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Tengku Zafrul.
Mereka akan mewakili Kementerian Kewangan, KKM dan Jabatan Perdana Menteri.
Tarikh dan masa prosiding akan ditetap dan diumumkan dalam masa terdekat.
#Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz #Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara #MySejahtera #Khairy Jamaluddin