MySejahtera: Keputusan permohonan P2 Asset Management pinda tuntutan saman 15 April

Bernama
Mac 31, 2022 22:44 MYT
Ahmad Fairuz turut menetapkan tarikh sama untuk keputusan permohonan kesemua defendan bagi membatalkan permohonan P2 Asset Management untuk meminda tuntutan saman berkenaan. - Gambar hiasan/ Bernama
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 15 April untuk keputusan permohonan P2 Asset Management Sdn Bhd bagi meminda pernyataan tuntutan dalam samannya terhadap Entomo Malaysia Sdn Bhd, Revolusi Asia Sdn Bhd dan MYSJ Sdn Bhd berhubung pertikaian perjanjian penjualan saham.
Entomo Malaysia adalah syarikat yang menggunakan perisiannya iaitu KPISOFT Software untuk membangunkan aplikasi mudah alih dikenali sebagai 'MySejahtera' atas dasar tanggungjawab sosial korporat.
Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan peguam Nagarajah Muttiah mewakili P2 Asset Management selaku plaintif dan peguam Ashok Kandiah yang mewakili Entomo Malaysia (dahulunya dikenali sebagai KPISOFT Malaysia Sdn Bhd) dan Revolusi Asia selaku defendan pertama dan kedua.
Turut berhujah dalam prosiding yang berlangsung secara dalam talian itu ialah peguam Razlan Hadri Zulkifli, mewakili MYSJ, yang dinamakan sebagai defendan ketiga dalam kes saman yang difailkan pada November 2021.
Ahmad Fairuz turut menetapkan tarikh sama untuk keputusan permohonan kesemua defendan bagi membatalkan permohonan P2 Asset Management untuk meminda tuntutan saman berkenaan.
BACA: Tidak timbul isu penjualan MySejahtera kepada pihak swasta - Khairy
Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif berkata sekitar April 2020, Entomo Malaysia mengemukakan cadangan penyelesaian berasaskan aplikasi mudah alih terhadap krisis COVID-19 yang sedang berlaku dan menggunakan perisiannya, KPISOFT Software untuk membangunkan aplikasi mudah alih dikenali sebagai 'MySejahtera'.
Menurut plaintif, disebabkan kejayaan aplikasi itu, Entomo Malaysia tidak lagi mahu menawarkan perisian dan aplikasi tersebut atas dasar tanggungjawab sosial korporat, sebaliknya bertekad untuk mengaut keuntungan perniagaan melalui perisian dan aplikasi berkenaan.
P2 Asset Management mendakwa pada 20 Sept 2020, Revolusi Asia memasuki suatu perjanjian dengan Entomo Malaysia, melibatkan Revolusi Asia akan memegang semua saham dalam MYSJ sebagai penama Entomo Malaysia, yang tidak dimaklumkan kepada plaintif pada masa pelaksanaan perjanjian dibuat.
Plaintif berkata pada 6 Okt 2020, MYSJ telah memasuki suatu perjanjian dengan Entomo Malaysia dan perjanjian itu antara lain menyatakan bahawa Entomo Malaysia akan memindahkan harta intelek aplikasi tersebut kepada MYSJ, memberikan MYSJ lesen untuk perisian tersebut dan MYSJ perlu membayar Entomo Malaysia RM338.6 juta, iaitu yuran agregat untuk pemindahan harta intelek aplikasi itu dan yuran pelesenan bagi perisian.
Menurut plaintif, sekitar November hingga Disember 2020, Entomo Malaysia telah mengemukakan cadangan dan menulis surat kepada kerajaan, merayu supaya bersetuju dengan model komersial untuk penggunaan berterusan aplikasi itu, sama ada melalui Perkongsian Awam-Swasta, atau kontrak perkhidmatan antara kerajaan dan MYSJ.
Tambah plaintif, pada masa material itu, kerajaan tidak membuat sebarang balasan terhadap cadangan tersebut dan MYSJ tidak akan menjana pendapatan sama sekali sekiranya kerajaan tidak bersetuju dengan cadangan berkenaan.
"Pada 31 Dis 2020, Revolusi Asia memasuki perjanjian penjualan saham (SSA) dengan plaintif di mana Revolusi Asia akan menjual saham MYSJ kepada plaintif berdasarkan terma-terma perjanjian antaranya plaintif akan merepresentasikan kepada Revolusi Asia bahawa ia akan memudahkan untuk mendapatkan surat award daripada kerajaan kepada MYSJ berkenaan dengan Perkongsian Awam-Swasta atau model komersial kontrak perkhidmatan untuk penggunaan berterusan aplikasi tersebut.
"Revolusi Asia juga akan memindahkan tambahan 3,579,237 saham biasa MYSJ, mewakili 10 peratus kepentingan ekuiti dalam MYSJ memihak kepada plaintif dengan syarat plaintif tidak melakukan pelanggaran material terhadap mana-mana terma dan syarat yang dinyatakan.
"Sekiranya LOA (surat lantikan) oleh Kerajaan Malaysia dianugerahkan dan diterima oleh MYSJ dalam tempoh 60 hari dari tarikh perjanjian ini, defendan hendaklah dalam tempoh tujuh hari dari tarikh penerimaan LOA, memindahkan 3,569,139 saham biasa MYSJ, mewakili 10 peratus kepentingan ekuiti dalam MYSJ kepada plaintif untuk dipegang sebagai amanah atau dipindahkan kepada penama yang akan dikenal pasti oleh plaintif," menurut plaintif dalam pernyataan tuntutan itu.
Bagaimanapun, plaintif mendakwa Entomo Malaysia dan Revolusi Asia telah secara salah berniat dengan cara yang menyalahi undang-undang, berkomplot dan bergabung bersama untuk menyebabkan Revolusi Asia melanggar SSA sehingga merugikan plaintif.
Oleh itu, plaintif antara lain memohon deklarasi bahawa Entomo Malaysia dan Revolusi Asia telah melakukan pelanggaran kontrak, terutamanya SSA terhadap plaintif, memohon deklarasi SSA adalah sah, kekal, terikat dan berkesan selain memohon Entomo Malaysia dan/atau Revolusi Asia dengan segera mengambil langkah untuk memindahkan saham 10 peratus kepada plaintif.
Menurut plaintif, Entomo Malaysia dan/atau Revolusi Asia bertanggungjawab secara bersama dan/atau berasingan untuk membayar kepada plaintif sejumlah RM5 juta sebagai ganti rugi khas, teruk dan/atau teladan, ganti rugi am yang akan ditakrifkan kemudia, faedah, kos dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.
-- BERNAMA
#MySejahtera #tuntutan saman #Mahkamah Tinggi #P2 Asset Management
;