MySejahtera: Daftar tanggungan bagi vaksinasi mula pertengahan Mac

Bernama
Februari 24, 2021 20:45 MYT
Kemudahan ini membolehkan anak-anak mendaftarkan ibu bapa mereka yang tidak mempunyai MySejahtera bagi penerimaan vaksin. - Gambar fail/ Bernama
PUTRAJAYA: Pendaftaran tanggungan (dependant) untuk vaksinasi COVID-19 menerusi aplikasi MySejahtera akan diperkenalkan pada pertengahan Mac, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin.
"Kemudahan ini membolehkan anak-anak mendaftarkan ibu bapa mereka yang tidak mempunyai MySejahtera bagi penerimaan vaksin," kata Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam sidang media di Pejabat Kesihatan Putrajaya, Presint 11 di sini hari ini.
Terdahulu beliau dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menyaksikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalani proses vaksinisasi COVID-19 di pusat kesihatan itu, yang menandakan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Khairy berkata pendaftaran untuk vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera bermula semalam menerusi platform iOS, Android serta Huawei, dan sebanyak 465,081 pendaftaran vaksinasi menerusi MySejahtera diterima sehingga pukul 2.45 petang hari ini.
"Pada awalnya, heboh di media sosial mengatakan hanya pengguna Apple sahaja boleh mendaftar. Ini tidak benar. Kita telah menghantar permohonan mengemaskini MySejahtera untuk semua sistem operasi (OS) talian bimbit, tetapi platform-platform ini mengambil tempoh masa yang berbeza-beza untuk memaparkan perubahan yang telah dibuat di platform masing-masing," katanya.
Beliau seterusnya menyeru orang ramai yang belum memuat turun aplikasi atau mengemas kini MySejahtera untuk berbuat demikian bagi membolehkan logo Vaksinasi COVID-19 dipaparkan.
"Secara ringkasnya, anda perlu mengesahkan maklumat anda, kemudiannya menjawab beberapa soalan yang berkaitan dengan kesihatan dan seterusnya, tekan butang hantar," katanya.
Beliau berkata maklumat yang dihantar akan dipadankan (cross-checked) dengan maklumat yang terkumpul di MySejahtera seperti rekod kesihatan daripada pusat kesihatan kerajaan atau swasta.
"Maklumat yang diterima menerusi pendaftaran di MySejahtera akan diproses bagi menyediakan senarai penduduk di Malaysia bagi mendapatkan vaksinasi mengikut keutamaan," katanya.
"Selain aplikasi MySejahtera, pendaftaran melalui laman sesawang vaksincovid.gov.my dan talian hotline dijangka bermula 5 Mac ini,'' katanya.
Beliau berkata pendaftaran secara manual juga akan diperkenalkan di klinik kesihatan dan hospital kerajaan.
"Kita juga akan menggerakkan program sukarelawan untuk menjayakan program bantuan bagi kawasan luar bandar dan pendalaman," katanya.
Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, bertemakan "Lindung Diri, Lindung Semua" itu dilaksanakan dalam tiga fasa bermula hari ini dengan Fasa 1 dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.
Fasa 2 pula dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang, manakala Fasa 3 dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas - warganegara dan bukan warganegara - dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.
Pendekatan kerajaan melalui program imunisasi itu adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia menerima vaksin menjelang Februari 2022.
-- BERNAMA
#MySejahtera #vaksin #program vaksinasi #Pendaftaran tanggungan #dependant #pendaftaran #Khairy Jamaluddin #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #MyVaksinCOVID19
;