MySejahtera buka helpdesk di PPV WTCKL, IDCC

Astro Awani
Februari 17, 2022 22:40 MYT
Khairy memberitahu, helpdesk secara fizikal itu akan diperluaskan di negeri-negeri dalam masa yang terdekat. - Gambar BERNAMA
PUTRAJAYA: Sebuah helpdesk secara fizikal akan dibuka di beberapa lokasi sebagai penyelesai kepada masalah yang berbangkit termasuk sijil vaksinasi dalam aplikasi MySejahtera.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, bagi fasa pertama, helpdesk itu akan dibuka di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada 19 Februari ini dan di PPV Ideal Convention Centre (IDCC) Shah Alam pada 26 Februari.
"Kita telah membuat keputusan untuk menubuhkan heldesk secara fizikal di beberapa tempat, jadi mereka yang masalah dengan MySejahtera termasuk isu sijil vaksinasi boleh terus mendapatkan bantuan di helpdesk ini," katanya pada sidag media di sini, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Khairy memberitahu, helpdesk secara fizikal itu akan diperluaskan di negeri-negeri dalam masa yang terdekat.
Katanya, sebelum ini beliau menerima aduan daripada orang ramai yang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan sijil vaksinasi digital mereka.
Pun begitu beliau memberitahu, helpdesk secara maya akan diteruskan seperti biasa.
Dalam pada itu ketika ditanya mengenai ujian kit saringan kendiri di pasaran yang dikesan mempunyai kualiti dan ketetapan yang meragukan, Khairy menjelaskan, KKM telah mengarahkan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) untuk memanggil semua pembekal kit ujian kendiri bagi meneliti isu berkenaan, dua hari lalu.
Katanya, KKM sedia maklum mengenai aduan dan rungutan orang ramai mengenai ralat menggunakan kit saringan kendiri yang dijual di pasaran.
Menurutnya, beliau juga mengarahkan MDA supaya menyampaikan saranan kepada pembekal-pembekal alat peranti itu untuk membuat satu penilaian ke atas aduan-aduan yang diterima.
"Kita juga telah minta MDA minta pembekal ini untuk mendapatkan maklumat jaminan kualiti daripada kilang-kilang, jadi kilang ini kena tunjuk sentiasa jaminan kualiti.
"Kedua kita juga akan melakukan ujian kit-kit yang diraguikan untuk menentukan tiada kemerosotan dari segi kualiti dari waktu diluluskan. Pada ketika ia diluluskan MDA, ketepatan mungkin 99 peratus tetapi kadar itu mungkin merosot dalam tempoh tertentu," katanya.
Menurutnya, hasil ujian itu akan dimaklumkan kepada orang ramai sebaik sahaja selesai.
#MySejahtera #Khairy Jamaluddin #Pusat Pemberian Vaksin #sijil vaksinasi
;