'MyPrice Dashboard' pantau harga barangan keperluan terpilih

Bernama
Disember 27, 2021 16:52 MYT
MyPrice Dashboard mempunyai empat kategori utama barangan keperluan terpilih iaitu ayam, daging dan telur; sayur-sayuran; ikan dan makanan laut serta buah-buahan. - Gambar hiasan/Astro AWANI
PUTRAJAYA: Perubahan harga harian barangan keperluan terpilih kini boleh dipantau melalui MyPrice Dashboard.
Dibangunkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dengan kolaborasi bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) MyPrice Dashboard boleh dicapai melalui pautan https://tinyurl.com/MyPriceDOSM, mempamerkan harga barangan harian mulai 7 Dis.
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan hari ini berkata MyPrice Dashboard mempunyai empat kategori utama barangan keperluan terpilih iaitu ayam, daging dan telur; sayur-sayuran; ikan dan makanan laut serta buah-buahan.
Harga yang dipaparkan di MyPrice Dashboard adalah berdasarkan kepada tiga sumber iaitu harga yang diperoleh daripada pemantauan KPDNHEP, data perangkak dan pungutan harga oleh anggota DOSM di outlet terpilih.
"MyPrice Dashboard akan dikemas kini secara berkala untuk manfaat rakyat dan juga kerajaan khususnya dalam memantau perubahan harga," katanya.
Di peringkat permulaan, MyPrice Dashboard mempunyai 36 barang keperluan terpilih termasuk 12 barangan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) dan buat masa ini, MyPrice Dashboard meliputi 137 outlet seluruh Malaysia.
Mohd Uzir berkata pemilihan 36 item tersebut adalah berdasarkan kepada item yang paling banyak digunakan dan menjadi pilihan kebanyakan isi rumah di Malaysia.
"MyPrice Dashboard bertujuan membekalkan harga harian bagi barang keperluan tersebut kepada pelbagai pihak serta membolehkan kerajaan memantau dan menganalisis trend perubahan harga yang berlaku," katanya sambil menambah ia juga akan membantu isi rumah dalam mendapatkan maklumat yang lebih baik mengenai harga daripada sumber yang dipercayai.
Berkongsi contoh trend harga, Mohd Uzir berkata trend harga satu kilogram ikan kembong di Pasar Selayang Baru, Selangor menurun kepada RM20 pada 26 Dis berbanding RM24 pada 7 Dis manakala harga ikan yang sama di Pasar Basah Presint 8, Putrajaya adalah konsisten pada RM20 sekilogram sejak 7 Dis.
Mengenai kesan harga barangan berikutan banjir baru-baru ini di beberapa negeri, beliau berkata ia tidak memberi impak yang besar kepada paras harga keseluruhan.
"Namun dijangkakan terdapat kecenderungan untuk berlaku kenaikan bagi barang-barang yang mengalami peningkatan permintaan yang mendadak seperti peralatan rumah," katanya.
-- BERNAMA
#MyPrice Dashboard #kos sara hidup #Jabatan Perangkaan Malaysia #Mohd Uzir Mahidin
;