MyPerformance ganti LNPT, gaji tahunan hanya libat pegawai capai prestasi - PM Anwar

Afiezy Azaman
Ogos 16, 2024 12:50 MYT
Anwar ketika tiba pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 'Perkhidmatan Awam MADANI' di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya hari ini. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Kerajaan bersetuju menambah baik aspek pengurusan prestasi, tatakelakuan dan pengurusan tatatertib dalam aspek pengurusan dan pembangunan bakat penjawat awam.
Ini dibuat melalui penambahbaikan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 yang mewujudkan peraturan baharu menangani isu kegagalan tadbir urus pengurusan kewangan awam dan pengukuhan prosedur tatatertib yang lebih tegas bagi pegawai yang tidak hadir bertugas.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan sistem MyPerformance iaitu penilaian prestasi tahunan yang baharu bagi menggantikan Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) kepada sistem.
"Ini berasaskan kepada aspek kompetensi dan nilai serta menitikberatkan lima prinsip, iaitu adil, objektif, telus, relevan dan kebolehasingan.
"Penambahbaikan kriteria kelayakan Pergerakan Gaji Tahunan (PGT) iaitu hanya kepada pegawai yang mencapai tahap prestasi yang memuaskan dan lulus tapisan tatatertib.
"Markah penilaian prestasi tahunan bagi urusan pemangkuan dan kenaikan pangkat ditingkatkan daripada 80 peratus kepada 85 peratus.
"Markah penilaian prestasi tahunan untuk layak menerima PGT dinaikkan daripada 60 peratus kepada 75 peratus dan markah minimum ini juga akan digunakan untuk menentukan pegawai berprestasi rendah yang boleh dimasukkan ke dalam Dasar Pemisah (Exit Policy) penamatan perkhidmatan dan tempoh pemprosesan urusan di bawah Dasar Pemisah dikurangkan daripada 36 bulan kepada 18 bulan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-19 (MAPPA XIX) 2024 di sini, hari ini.
KETUA JABATAN GAGAL LAPOR SALAH LAKU PEGAWAI DIKENAKAN TINDAKAN
Anwar berkata, adalah menjadi tanggungjawab Ketua Jabatan untuk memperkukuh integriti dan tatakelola Perkhidmatan Awam.
Beliau menegaskan, Ketua Jabatan yang gagal melaporkan salah laku pegawai bawahannya akan dikenakan tindakan tatatertib dan seterusnya menjejaskan peluang kenaikan pangkat.
"Ketua Jabatan hendaklah melaksanakan pusingan kerja (job rotation) secara berterusan bagi mengelakkan berlakunya kes salah laku dalam kalangan pegawai awam," ujarnya.
#Anwar Ibrahim #MyPerformance #Gaji penjawat awam #penilaian prestasi tahunan