MyMinda: KKM kesan 1,315 individu ada ciri-ciri untuk bunuh diri – Dr Zaliha

Hilmi Malik
November 1, 2023 13:21 MYT
Dr Zaliha Mustafa berkata, data itu diperoleh daripada komponen baharu dalam aplikasi MySejahtera iaitu MyMinda, yang diperkenalkan 22 Oktober lalu. - Gambar/ Astro AWANI
BANGI: Kementerian Kesihatan (KKM) menerima data yang membimbangkan mengenai tahap kesihatan mental sebahagian rakyat Malaysia termasuk berkaitan kecenderungan untuk membunuh diri.
Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, data itu diperoleh daripada komponen baharu dalam aplikasi MySejahtera iaitu MyMinda, yang diperkenalkan 22 Oktober lalu.
Menurut Dr Zaliha, seramai 6,955 individu telah disaring setakat ini dan daripada jumlah itu, 2,887 berdepan dengan isu kemurungan manakala 1,315 individu terkait dengan ciri-ciri ke arah membunuh diri.
“Kita baru sahaja lancarkan MyMinda dalam aplikasi MySejahtera dan ini membuktikan dalam masa singkat ramai yang ke depan untuk nilai kesihatan mental masing-masing.
“Daripada angka itu ramai yang kita diagnos ada masalah kemurungan dan ciri-ciri untuk bunuh diri... jadi perkara ini sangat membimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan program Program Minda Sihat Hidup Sejahtera sempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia di sini, pada Rabu.
Mengulas lanjut, KKM bagaimanapun sedang meneliti data berdasarkan kategori umur daripada angka keseluruhan individu yang telah disaring.
Tambah Dr Zaliha, KKM juga telah mengambil langkah intervensi awal selepas memperoleh data-data berkenaan khususnya melibatkan mereka yang mempunyai ciri-ciri bunuh diri.
“Kita memang ambil langkah intervensi khususnya yang terkait dengan tingkah laku bunuh diri dan petugas akan terus hubungi mereka untuk ambil tindakan awal bagi mengelakkan mereka lakukan perkara yang memburukkan lagi kesihatan mental mereka,” katanya lagi.
Secara keseluruhan kesemua data tersebut meliputi mereka yang berusia 18 tahun ke atas berikutan platform berkenaan dibuat menerusi aplikasi MySejahtera.
Kerajaan juga katanya akan terus mengambil langkah proaktif membendung isu kesihatan mental yang boleh menjejaskan prestasi kerja harian.
Sebelum ini, KKM memperkenalkan MyMinda sebagai satu komponen baru dalam aplikasi MySejahtera yang terdiri daripada saringan minda sihat, sumber psikopendidikan dan akses kepada talian bantuan psikososial.
Selain itu, usaha berkenaan juga bertujuan melatih anggota kesihatan seperti pakar perubatan keluarga, pegawai perubatan dan paramedik di klinik kesihatan seluruh negara.
#KKM #MyMinda #bunuh diri #Dr Zaliha Mustafa
;