MYMBN gantung sementara eksport sarang burung ke China atas arahan DVS

Bernama
Disember 26, 2024 04:50 MYT
Penggantungan sementara eksport produk sarang burung ke China menjejaskan keseluruhan industri, meliputi kedua-dua produk sarang burung yang dibersihkan dan tidak dibersihkan yang boleh dimakan. - Gambar hiasan/DagangNews
KUALA LUMPUR: Pemproses sarang burung, MYMBN Bhd telah menerima notis daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Malaysia berhubung penggantungan sementara eksport produk sarang burung ke China, berkuat kuasa 25 Disember, 2024.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata penggantungan itu susulan Virus Penyakit Newcastle di Malaysia yang dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia.
"Penggantungan ini menjejaskan keseluruhan industri, meliputi kedua-dua produk sarang burung yang dibersihkan dan tidak dibersihkan yang boleh dimakan," katanya.
MYMBN berkata ia mengubah hala fokus jualannya ke pasaran eksport alternatif sedia ada seperti Vietnam dan pasaran tempatan.
Syarikat tersebut berkata ia bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa berkaitan untuk memantau perkembangan, mempercepatkan penyambungan semula eksport dan menyesuaikan strategi operasi untuk mengurus inventori dan memastikan kesinambungan perniagaan dalam tempoh ini.
-- BERNAMA
#eksport #sarang burung #Bursa Malaysia #MYMBN #Virus Penyakit Newcastle
;