MyIPO terima 42 peratus permohonan tempatan untuk harta intelek

Wan Syamsul Amly
Julai 18, 2017 17:03 MYT
Sebanyak 9,918 daripada keseluruhan 23,403 permohonan harta intelek diterima MyIPO sehingga Jun lepas datangnya daripada rakyat negara ini. - Gambar http://www.massa.net.my/myipo/
Sebanyak 42 peratus atau 9,918 daripada keseluruhan 23,403 permohonan harta intelek diterima Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) sehingga Jun lepas datangnya daripada rakyat negara ini.
Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, angka itu diharap dapat ditingkatkan lagi menjelang akhir tahun dengan promosi dan khidmat nasihat MyIPO sendiri.
Jelasnya, KPDNKK bersama MyIPO sentiasa mengambil inisiatif untuk mendekati usahawan melalui beberapa program di seluruh negara.
"Saya berharap dengan adanya program coaching yang disediakan oleh MyIPO ini, para usahawan akan memanfaatkan peluang bagi mendapat gambaran yang jelas mengenai proses permohonan pendaftaran harta intelek yang mudah dan seterusnya memfailkan permohonan pendaftaran harta intelek masing-masing," katanya semasa merasmikan Majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2017, di sini, hari ini.
Teks ucapan Hamzah dibacakan Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Jamil Salleh.
Majlis Anugerah Harta Intelek Negara (AHIN) 2017 tahun ini bertemakan 'Harta Intelek Mensejahtera Kehidupan Rakyat'.
Sebanyak 518 penyertaan diterima tahun ini sekali gus menjadikan penyertaan tertinggi sejak penganjuran kali pertama pada 2006.
Penyertaan termasuklah daripada sektor awam dan swasta, universiti, sekolah menengah serta individu.
Tujuh kategori dipertandingkan kali ini iaitu Kategori Organisasi (Pengurusan Harta Intelek Terbaik), Perekacipta Harta Intelek (Pelajar Institusi Kemahiran atau Setaraf) dan Kategori Perekacipta Muda Harta Intelek (Pelajar Sekolah Menengah).
Turut dipertandingkan Kategori Paten, Cap Dagangan dan Petunjuk Geografi, Reka Bentuk Perindustrian serta Kategori Hakcipta.
Pada tahun ini juga, tiga kategori baharu diperkenalkan iaitu Anugerah Khas Harta Intelek Sektor Koperasi, Anugerah Khas Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Anugerah Khas Inovasi Antarabangsa Peringkat Sekolah Menengah.
Penyertaan dibuka pada Februari lalu manakala sesi penjurian bermula 18 April sehingga 25 Mei lepas.
Penganjuran AHIN adalah bagi memberi pengiktirafan kepada pereka cipta atau pencipta atas sumbangan harta intelek dalam pembangunan sosio-ekonomi negara.
Dalam pada itu, Pengerusi Perbadanan Harta Intelek Malaysia Datuk Seri Abdul Manan Ismail di dalam ucapannya memberitahu, permohonan paten tempatan adalah masih rendah berbanding luar negara.
"Sebagai contoh pada tahun 2016, MyIPO menerima 6,176 permohonan paten dari luar negara berbanding hanya 1,219 permohonan paten tempatan.
"Antara faktor yang menyumbang kepada kurangnya permohonan paten di kalangan rakyat Malaysia adalah kerumitan yang dihadapi oleh pemohon untuk menyediakan spesifikasi sesuatu paten tersebut," jelasnya.
Dalam pada itu katanya, MyIPO telah bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dengan mengadakan program IP Summer Camp dan IP Funtastic bagi memberi pendedahan mengenai harta intelek kepada pelajar-pelajar sekolah pada usia yang muda.
Ia bagi memastikan mereka dididik sebagai pereka cipta, pencipta dan inovator sekali gus mentransformasikan rakyat dari pengguna harta intelek kepada pemilik harta intelek.
Antara pemenang Anugerah Harta Intelek 2017 adalah SM Sains Tengku Abdullah, Pahang (Anugerah Khas Inovasi Antarabangsa Peringkat Sekolah Menengah), SM Sains Bagan Datoh, Perak (Anugerah Khas Menteri KPDNKK) dan Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (Kopetro)(Anugerah Khas Harga Intelek Sektor Koperasi).
#Abdul Manan Ismail #Hamzah Zainuddin #Kementerian Pendidikan #KPDNKK #MyIPO #Perbadanan Harta Intelek Malaysia
;