MyIPO teliti keperluan tawar harga istimewa kepada peniaga TikTok Shop
Bernama
November 6, 2023 16:49 MYT
November 6, 2023 16:49 MYT
PETALING JAYA: Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) akan meneliti keperluan untuk memberi tawaran harga istimewa kepada peniaga TikTok Shop yang berhasrat mendaftarkan hak cipta (copyright) dan cap dagangan (trademark) perniagaan mereka.
Pengerusi MyIPO Mohd Zuhan Mohd Zain bagaimanapun berkata penetapan harga itu akan dimuktamadkan selewat-lewatnya awal tahun depan, selepas diadakan perbincangan dengan pengurusan platform media sosial TikTok.
"Biasanya harga pendaftaran adalah RM950 bagi 'trademark' dan RM200 bagi 'copyright'. Namun peniaga boleh buat semakan awal pendaftaran bagi memastikan tidak ada pertindihan dengan pihak lain dengan kadar RM200.
"Ia amat menguntungkan kerana peniaga hanya perlu berdaftar sekali sahaja dan ia juga boleh diguna pakai di platform lain selain TikTok selama 10 tahun (bagi cap dagangan dan 50 tahun untuk hak cipta)," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara MyIPO dan TikTok di sini hari ini.
Mohd Zuhan berkata pihaknya menggalakkan agar semua peniaga mendaftar dengan segera bagi mengelakkan pelanggaran harta intelek.
Sementara itu, beliau berkata peniaga yang kurang berkemampuan boleh mendaftarkan perniagaan secara percuma dengan Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 (IP 2.0).
Sebanyak RM4 juta diperuntukkan bagi inisiatif Dana Pemfailan Harta Intelek 2.0 di bawah MyIPO bagi tempoh empat tahun bermula 2022 hingga 2025.
Terdahulu, pada majlis menandatangani MoU itu MyIPO diwakili oleh Ketua Pengarahnya Kamal Kormin manakala TikTok diwakili Ketua Hak Harta Intelek Asia Tenggaranya Simon Zhou.
MoU itu mencerminkan usaha bersama antara MyIPO dan TikTok dalam mengekalkan dan meningkatkan pematuhan terhadap perundangan berkaitan harta intelek, selain bertujuan memastikan dasar dan polisi penguatkuasaan harta intelek di platform TikTok selaras dengan akta-akta harta intelek di Malaysia.
TikTok adalah kolaborasi pertama antara MyIPO dengan media sosial setakat ini.
Pada majlis itu, MyIPO turut melancarkan Tabung Kemanusiaan Palestin selama dua minggu bagi membantu rakyat Palestin.
-- BERNAMA