MyIPO tawar pengecualian fi enam bulan bagi cap dagangan dan paten
Bernama
Januari 4, 2021 04:23 MYT
Januari 4, 2021 04:23 MYT
KUALA LUMPUR: Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) menawarkan pengecualian fi bagi beberapa permohonan cap dagangan dan paten sedia ada, bermula 1 Jan hingga 30 Jun tahun ini.
Ketua Pengarah MyIPO Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata pengecualian bagi tempoh enam bulan itu diberikan kepada syarikat dan individu yang terkesan akibat COVID-19.
"Inisiatif ini ditawarkan kepada kumpulan B40 yang menerima Bantuan Sara Hidup atau Bantuan Prihatin Nasional atau pendapatan terjejas.
"Bagi syarikat perkongsian, persatuan, pertubuhan perbadanan atau institusi pula, adalah yang memperoleh kelulusan penyambungan moratorium, mempunyai masalah aliran tunai dan menghadapi keberhutangan dan kesulitan membuat pembayaran hutang," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau berkata pengecualian fi cap dagangan akan diberikan bagi pindaan nama atau alamat pemohon, yang mana kos sebenar berjumlah RM20 untuk setiap permohonan.
Katanya, pengecualian turut diberikan kepada permohonan pelanjutan masa dan prosiding yang membabitkan kos sebenar sebanyak RM100 setiap bulan selain pemfailan dokumen secara manual di mana kos sebenar dikenakan berjumlah RM2 bagi setiap muka surat.
"Pengubahsuaian fi bagi pembaharuan lewat cap dagangan yang tempoh pendaftarannya tamat antara 1 Jan hingga 30 Jun 2021, turut dikurangkan daripada RM1,200 kepada RM1,000 sahaja.
"Bagi paten pula, setiap pemilik paten dan perakuan bagi Perbaharuan Utiliti yang tamat tempoh antara 1 Jan hingga 30 Jun 2021, diberikan tempoh enam bulan bagi bayaran pembaharuan tanpa dikenakan fi surcaj kelewatan," katanya.
-- BERNAMA
#MyIPO
#Perbadanan Harta Intelek Malaysia
#permohonan cap dagangan
#paten
#Mohd Roslan Mahayudin
#B40
#COVID-19
#fi cap dagangan
#pengecualian
#hutang
#kesulitan
#Moratorium