MyIPO bantu bawa pulang karya Usman Awang di luar negara

Bernama
Februari 19, 2014 16:47 MYT
Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) akan membantu Yayasan Usman Awang untuk membawa balik karya sasterawan itu yang berada di luar negara.
Menurut Pengerusinya Datuk Abdul Manan Ismail, selain membantu membawa balik karya tersebut, perbadanan itu juga akan membantu membukukan semua karya sasterawan negara itu bagi rujukan masa akan datang.
"Perbadanan juga akan mendaftarkan karya tersebut untuk memastikan karya tersebut tidak diciplak atau digunakan tanpa memberi royalti kepada penulis atau waris penulis," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Collective Management Organisation (CMO) in Copyright di sini Rabu.
Yayasan Usman Awang, ditubuhkan baru-baru ini bagi menghimpun karya sasterawan negara untuk kemudahan para pengkaji sastera dalam dan luar negara membuat penyelidikan.
Sementara itu mengulas mengenai isu rasa tidak puas hati di kalangan pengguna karya hak cipta terhadap tarif royalti yang ditetapkan, Abdul Manan berharap pihak terbabit merujuk kepada Tribunal Hak Cipta yang merupakan platform yang disediakan kerajaan bagi menyelesaikan kes-kes sedemikian.
Seminar julung kali dianjurkan dengan kerjasama Japan Copyright Office (JCO) itu bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan bertukar pandangan untuk perkembangan bidang CMO supaya menjadi lebih cekap dan telus.
Abdul Manan berkata tumpuan utama perbadanan adalah untuk membangunkan sistem perlindungan hak cipta yang komprehensif serta menggalakkan pengurusan yang cekap dan telus daripada CMO di Malaysia.
"Seminar ini merupakan platform yang penting untuk CMO tempatan belajar daripada pengalaman negara matahari terbit itu bagaimana mereka membangunkan sistem CMO," katanya.
CMO merupakan syarikat yang bertanggungjawab untuk mengutip royalti daripada pengguna kepada pemilik hak cipta.
Terdapat empat CMO yang berdaftar dengan MyIPO iaitu Music Author's Copyright (MACP), Public Performance Malaysia Sdn Bhd (PPM), Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dan Performers Right and Interest Society of Malaysia Berhad (Prism).
#Datuk Abdul Manan Ismail #Yayasan Usman Awang
;