MYHackaton 2020 pacu kerjasama rakyat-kerajaan, jayakan penyelesaian perkhidmatan secara digital
Israr Khalid
Disember 6, 2021 19:34 MYT
Disember 6, 2021 19:34 MYT
KUALA LUMPUR: Pandemik telah membataskan segala pergerakan bersemuka, sudah pasti banyak perkhidmatan kerajaan terjejas dan tidak dapat disampaikan seperti sebelum ini.
Tepat pada ketika dan saatnya, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi agensinya, Cradle Fund Sdn. Bhd. melancarkan MYHackathon 2020, satu inisiatif di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).
Dilancarkan pada Oktober tahun lalu, MYHackaton 2020 yang buat julung-julung kalinya diadakan di peringkat nasional, menjadi platform mengumpul idea-idea rakyat untuk menyelesaikan masalah perkhidmatan kerajaan secara digital dan direalisasi dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan berkaitan.
Untuk penganjuran sulungnya, inisiatif tersebut dijalankan di enam negeri berpusat di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuala Terengganu, Kuching dan Kota Kinabalu.
Berteraskan enam tema utama, yakni Prihatin Rakyat, Rakyat Sihat Sejahtera, Ilmu Pelita Hidup, Bina Negara, Nilai Keluarga Asas Pembangunan dan Rakyat Produktif, ia berjaya mengumpulkan lebih 400 idea dan 36 pemenang telah dipilih daripadanya.
“Salah satu ciri MYHackaton ini adalah ia memberi keutamaan kepada syarikat-syarikat kecil, berbanding sebelum ini biasanya kerajaan cenderung untuk memberi projek kepada syarikat-syarikat yang sudah kukuh dan besar.
“Ia mahu menggalakkan pembina-pembina teknologi tempatan dan sasarannya kepada syarikat-syarikat pemula (start-up), juga individu-individu yang ada idea penyelesaian kepada penyataan masalah yang diajukan kerajaan di bawah enam tema utama itu,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle Fund Sdn. Bhd., Rafiza Ghazali.
Penyertaannya dibuka kepada dua kategori; Sprint, buat sesiapa yang mahu menyertai secara suka-suka untuk memenangi wang tunai, serta Marathon, untuk mereka yang serius mahu membangunkan idea menjadi projek rintis dan memberikan sepenuh komitmen untuk tempoh hingga 12 bulan.
13 idea bernas telah terpilih untuk dilanjutkan sebagai projek rintis, dan mereka ini akan disokong oleh Cradle Fund untuk memudahcarakan setiap urusan, dari selok belok pembentangan idea, pembangunan teknologi, pengurusan syarikat sehinggalah penyelesaian mereka direalisasi dan diterapkan oleh agensi kerajaan yang telah disepakati.
Antara contoh pemenang yang diberi Rafiza adalah teknologi RoadPlus daripada Neuon Artificial Intelligence di mana ia membolehkan lubang-lubang jalan raya dapat dikesan dengan imbasan kecerdikan buatan (A.I.).
Dengan bantuan Cradle Fund, syarikat berpangkalan di Kuching ini dihubungkan dengan JKR Sarawak untuk kedua-dua pihak bersama membangunkan teknologi tersebut sehingga dapat dimanfaatkan untuk menambah baik keselamatan dan keselesaan jalan raya.
Maklum Rafiza lagi, syarikat-syarikat pemula yang memenangi geran ini turut akan dibimbing oleh mentor supaya mereka tidak menjadi ‘one-hit-wonder’, tetapi dapat kekal bertahan dan seterusnya berkembang menjadi sebuah syarikat yang kukuh di negara ini, serta harap-harapnya dapat memecah pasaran luar.
Agenda AWANI: Penyelesaian digital pacu transformasi perkhidmatan awam