MyGAS 2023 bincang peranan penting gas asli dalam peralihan tenaga
Madiha Abdullah
November 16, 2023 17:48 MYT
November 16, 2023 17:48 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Gas Malaysia (MGA) pada Khamis menganjurkan Simposium Gas Malaysia (MyGAS 2023), satu-satunya forum yang mengumpulkan peneraju industri gas di Malaysia.
Dengan sokongan Kementerian Ekonomi, simposium dengan tema "Menggiatkan Peranan Gas dalam Peralihan Tenaga" itu menyediakan platform untuk penggubal dasar dan peneraju industri dari seluruh dunia membincangkan peranan gas dalam peralihan tenaga dan laluan pragmatik bagi industri gas di Malaysia.
Hadir menyampaikan ucaptama dalam majlis perasmian ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Yatimah Sarjiman, serta Naib Presiden Kesatuan Gas Antarabangsa (IGU), Andrea Stegher yang turut menyampaikan ucapan.
Presiden MGA, Abdul Aziz Othman berkata, sejak sekian lama, industri gas Malaysia memberi sumbangan signifikan kepada pertumbuhan KDNK dan pembangunan sosio-ekonomi, selain menjadi sumber tenaga yang boleh dipercayai bagi menjana industri.
Oleh itu, beliau melihat liberalisasi pasaran gas sepenuhnya bagi pasaran tenaga termasuk gas dan elektrik diperlukan untuk industri gas yang bertenaga dan mampan, menarik pelabur dan pemain pihak ketiga yang memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan tenaga jangka panjang negara.
"Industri gas memainkan peranan penting dalam peralihan ke arah tenaga yang lebih bersih dan mampan. Ia mesti terus berkembang dan disesuaikan untuk memenuhi perubahan permintaan landskap tenaga.
"Walaupun kami menyasarkan matlamat tinggi, adalah penting untuk melakukan peralihan dengan pemikiran yang realistik. Industri dan ekosistem secara keseluruhan mesti dilengkapi dan bersedia untuk bergerak ke arah laluan yang betul.
"Mewujudkan tenaga lestari adalah tanggungjawab kita, yang bukan sahaja memberi manfaat kepada kita hari ini tetapi yang paling penting, untuk generasi akan datang," katanya dalam ucapan alu-aluan.
Jelasnya, industri memerlukan sokongan dari segi insentif kerajaan, liberalisasi pasaran penuh, pelaburan langsung asing (FDI) dan akses kepada pembiayaan bagi membolehkan industri gas menjalankan peranannya, sekali gus mewujudkan persekitaran yang menggalakkan inovasi, peningkatan pembangunan sosio-ekonomi dan penciptaan pekerjaan baharu.
Tambahnya lagi, industri berharap agar Pelan Hala Tuju Gas Asli (NGR) yang akan dikeluarkan tahun hadapan bersifat realistik dan pragmatik, serta menggariskan laluan yang jelas untuk industri, menggalakkan pertumbuhan yang mampan dan memastikan bekalan gas yang boleh dipercayai untuk memenuhi permintaan tenaga yang semakin meningkat.
#Simposium Gas Malaysia
#Persatuan Gas Malaysia
#MyGas2023
#Yatimah Sarjiman
#peralihan tenaga
#gas asli