MyFundAction sumbang 1,242 smile pack kepada petugas barisan hadapan

Fareez Azman
Mac 23, 2020 06:00 MYT
Sukarelawan MyFundAction menyerahkan sumbangan kepada petugas barisan hadapan di Hospital Banting. Gambar MyFundAction
Petugas barisan hadapan terutama doktor dan jururawat sudah tentu berdepan detik sukar dalam membantu pesakit COVID-19 di seluruh negara.
Malah ada antara mereka terpaksa bertugas lebih 12 jam sehari demi membantu menyelamatkan mangsa COVID-19 selain terbabit secara langsung membuat saringan ribuan pesakit setiap hari.
Dalam usaha meraikan kumpulan itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) tampil menyampaikan sumbangan makanan dinamakan 'Smile Pack' di 11 fasiliti perubatan termasuk Hospital Serdang, Ampang, Shah Alam, Selayang, Seremban dan Klang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MyFundAction, Muhammad Afiq Mohmad Nazari, sumbangan 1,242 'Smile Pack' itu adalah sebahagian usaha kecil mereka mewakili masyarakat untuk memberi sedikit keceriaan kepada petugas barisan hadapan.
"Smile Pack ini adalah merupakan satu set makanan yang terdiri daripada nasi putih beras basmathi, pek kari daging dan kari ayam yang siap untuk dimakan.
"Pek ini dapat memudahkan pergerakan petugas hospital untuk makan di dalam kesibukan tugas," katanya.
Selain petugas barisan hadapan, beliau berkata, Smile Pack turut disumbangkan kepada mahasiswa yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasaan sejak 18 Mac lalu.
Antara yang menerima sumbangan, mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
#COVID-19 #Doktor #koronavirus #mahasiswa #makanan #mangsa #NGO #pek makanan #perubatan #petugas barisan hadapan #polis #Smile Pack #sumbangan #tentera
;