Mydin henti jual straw plastik Jun ini
Rahimah Abdullah
Januari 5, 2019 19:27 MYT
Januari 5, 2019 19:27 MYT
Jaringan peruncitan dan pemborong tempatan, Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) akan mula menghentikan penjualan straw plastik pada Jun ini sebagai menyokong kempen pengharaman penyedut minuman itu tahun depan di Wilayah Persekutuan.
Pengarah Urusannya, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, pihaknya akan menggantikan straw plastik berkenaan dengan straw mesra alam sekitar.
Mydin juga menyokong kempen berkenaan, namun memerlukan sedikit masa untuk menghabiskan stok akhir staw plastik berkenaan.
"Kita sokong usaha kerajaan untuk mengharamkan straw plastik. Mydin akan berhenti menjual straw pada pertengahan tahun ini. Memang ada pelanggan yang masih membeli straw sementara kita beritahu mereka perlahan-perlahan. Sama juga seperti kempen larangan merokok, kita kena beritahu semua pelanggan memang tidak bagus pakai straw dan gunakanlah alternatif lain," katanya semasa dihubungi Astro AWANI.
Walaupun mengakui harga bagi straw kitar semula lebih mahal berbanding straw plastik, namun beliau melihat penyedut minuman itu sebagai satu keperluan untuk golongan kurang upaya khususnya.
Beliau juga yakin kempen pengharaman straw plastik akan berjaya dilakukan sama seperti kempen hari tanpa beg plastik yang sedikit sebanyak menampakkan hasil positif.
"Sama juga seperti kempen tanpa beg plastik. Dulu , pelanggan minta beg plastik banyak-banyak. Namun bila mereka dicaj 20 sen untuk satu beg plastik, saya nampak kurangnya penggunaan beg plastik kerana orang sudah berkira-kira untuk membayar serta sudah ramai mula membawa beg kitar semula mereka sendiri. Jadi saya hasilnya akan sama dengan kempen mengharamkan straw plastik ini," ujarnya.
Bermula 1 Januari tahun depan, straw plastik akan diharamkan di semua premis perniagaan di Wilayah Persekutuan bagi mengurangkan pencemaran plastik serta dalam usaha memulihara alam sekitar.