#mydigitalmaker Fair 2018: Didik gaya hidup lestari
Astro Awani
September 13, 2018 13:51 MYT
September 13, 2018 13:51 MYT
SABAN hari semakin banyak organisasi memilih melakukan transformasi untuk meningkatkan kemampuan syarikat dan kemahiran pekerja dalam mengharungi era digital.
Pembangunan dalam bidang kecerdasan buatan (AI), Realiti Terimbuh (AR), realiti maya (VR), serta Internet of Things (IoT), antara yang mendapat perhatian masa kini.
Dilaporkan 90% daripada pekerjaan masa depan memerlukan tenaga kerja yang mempunyai kemahiran digital.
Justeru, permintaan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam teknologi digital dilihat kian mendesak, sekali gus mendorong perkembangan pesat sektor sumber manusia dalam bidang berkaitan.
Selari dengan keperluan yang semakin meningkat terhadap industri teknologi digital, Kementerian Pendidikan Malaysia bersama Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) tampil menganjurkan #mydigitalmaker Fair 2018.
#mydigitalmaker Fair 2018 adalah sebahagian daripada Gerakan #mydigitalmaker dalam memberi pendedahan kepada golongan belia tentang peluang kerjaya dalam sektor digital di masa hadapan.
Dijadual pada 29 dan 30 September ini, pameran yang dianjurkan di Axiata Arena, Bukit Jalil ini ialah satu inisiatif untuk menggalakkan belia Malaysia menjadi pengusaha dalam ekonomi digital.
Pameran ini bakal memberi pendedahan kepada pelajar, guru dan ibu bapa dengan pengalaman digital menerusi aktiviti-aktiviti seperti robotika, pembuatan dron, percetakan 3D, ceramah kerjaya dan pertandingan berasaskan digital.
Pelbagai program dan pertandingan disedia dan direka untuk membantu pelajar, guru dan ibu bapa untuk lebih memahami pendidikan teknologi digital dan potensinya dalam memacu ekonomi digital negara.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Datuk Yasmin Mahmood, agensi itu komited untuk membina dan mengembangkan masa hadapan digital negara serta bertanggungjawab untuk meletakkan Malaysia sebagai peneraju dalam ekonomi digital.
“Golongan belia di negara ini akan menjadi generasi yang dapat memacu Malaysia ke tahap yang lebih tinggi dan tanggungjawab kita untuk membantu mereka melalui pendidikan," kata Yasmin.
Tambahnya, dalam usaha membentuk dan memupuk belia Malaysia untuk menjadi pencetus pembaharuan teknologi digital di masa hadapan, MDEC dan Kementerian Pendidikan akan menyemak semula kurikulum ICT di sekolah dan memastikan kesediaan guru.
Antara kemudahan yang disediakan adalah peluang pembelajaran komplimentari melalui aktiviti kokurikulum, hab penghasilan digital dan pertandingan.
Industri Permainan Video
Sementara itu, agensi pencarian pekerjaan terbesar dunia Indeed.com dalam laporannya menyebut bahawa permintaan pekerja berteknologi terus berkembang pesat.
Menurut Naib Presiden Kanan Produknya, Raj Mukherjee, pendedahan secara konsisten perlu diberikan kepada generasi muda untuk merebut peluang pekerjaan dalam bidang ini suatu hari nanti.
“Beberapa bidang kerja dalam bidang teknologi kini mengalami pertumbuhan pesat dalam beberapa tahun ini, manakala banyak peluang pekerjaan baharu yang tiada sebelum ini akan wujud," kata Mukherjee.
Antara bidang pekerjaan yang dijangka mendapat perhatian dan akan menerima permintaan tinggi dalam masa beberapa tahun akan datang adalah dalam bidang permainan video atau gaming.
Peluang pekerjaan dalam sektor gaming dijangka meningkat sekitar 11% setiap tahun dalam beberapa tahun akan datang.
Pandangan itu diakui Presiden dan CEO Entertainment Software Association, Michael Gallagher yang melihat pembangunan ekonomi abad ke-21 memerlukan kepakaran tenaga kerja yang kreatif dan inovatif.
“Industri hiburan interaktif dikuasai pembangunan teknologi dan hiburan yang paling inovatif dan luar biasa.
“Kerjaya ini bukan sahaja daripada segi kepakaran, malah tenaga kerjanya turut diberi imbuhan tinggi," kata Gallagher.
#era digital
#Kementerian Pendidikan
#KPM
#MDEC
#mydigitalmaker Fair 2018
#Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia