MyDigital ID tidak simpan data biometrik, tidak guna cip atau implan - MIMOS
Bernama
Disember 12, 2023 17:20 MYT
Disember 12, 2023 17:20 MYT
KUALA LUMPUR: Sistem MyDigital ID tidak menyimpan sebarang data biometrik seperti cap jari, maklumat mata atau pengecaman muka dan tidak menggunakan sebarang cip atau implan, menurut MIMOS Berhad.
MIMOS Berhad dalam kenyataan hari ini memaklumkan MyDigital ID juga tidak mengumpul, memantau atau menyimpan pangkalan data peribadi atau aktiviti pengguna dalam talian, selain tidak mendedahkan data peribadi secara terbuka dan ia juga tidak membolehkan pengguna memiliki lebih daripada satu identiti digital.
"Ia (MyDigital ID) juga tidak berfungsi sebagai pengganti MyKad untuk bukti pengenalan, dan penggunaan sistem ini pada portal kerajaan juga dapat menjamin transaksi yang selamat melalui sistem berasaskan kriptografi yang terjamin keselamatannya," menurut MIMOS dalam kenyataan hari ini.
Tambah kenyataan itu, keselamatan MyDigital ID turut diperakui Pensijilan Kriteria Umum yang diiktiraf di peringkat antarabangsa pada EAL3+.
Selain itu, aplikasi MyDigital ID pada telefon pintar mengandungi identiti digital rakyat yang terikat secara kriptografi iaitu teknologi yang sangat selamat kepada nama dan nombor kad pengenalan.
Menurut kenyataan itu, MyDigital ID merupakan tunjang komitmen kerajaan dalam menyediakan perkhidmatan digital yang mudah diakses dan selamat untuk semua rakyat.
"MyDigital ID itu juga menandakan satu langkah penting ke arah persekitaran digital yang lebih mesra pengguna dan selamat, sejajar dengan visi kerajaan untuk memanfaatkan teknologi demi memperkasakan rakyat," menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memberitahu MyDigital ID juga berfungsi sebagai kaedah pengesahan dalam talian, memberikan rakyat akses yang lancar kepada pelbagai platform digital kerajaan.
"Dengan penyepaduan proses pengesahan dalam talian, individu boleh menggunakan pelbagai perkhidmatan tanpa menghadapi kerumitan log masuk berbilang dan memudahkan interaksi digital dengan agensi-agensi kerajaan," menurut kenyataan itu.
Pendaftaran bagi MyDigital ID akan dibuka kepada semua petugas kerajaan bermula Mac 2024 dan semua maklumat mengenai pendaftaran serta kios pendaftaran akan disenaraikan melalui laman web MyDigital ID kelak.
Untuk maklumat lanjut dan pertanyaan, pengguna boleh menghantar e-mel ke info@mimos.gov.my atau https://www.mimos.my/main/portfolio/mydigital-id/.
-- BERNAMA