MyDigital ID catat lebih 1 juta pengguna berdaftar
Bernama
Oktober 11, 2024 12:17 MYT
Oktober 11, 2024 12:17 MYT
KUALA LUMPUR: Lebih satu juta pengguna telah mendaftar MyDigital ID dalam tempoh kurang setahun pelaksanaannya.
Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID Sdn Bhd Mohd Mirza Mohamed Noor berkata pencapaian ini menunjukkan kesediaan Malaysia untuk menerima transformasi digital, memastikan cara yang lebih mudah dan selamat untuk mengakses perkhidmatan kerajaan dan sektor swasta secara dalam talian.
"Kami sangat berterima kasih kepada pengguna kami atas kepercayaan mereka terhadap MyDigital ID dan sikap proaktif mereka dalam melindungi diri dalam dunia digital yang semakin mencabar.
"Penglibatan mereka memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi MyDigital ID di Malaysia, dan jelas bahawa rakyat Malaysia sudah bersedia untuk beralih kepada perkhidmatan digital yang lebih selamat dan cekap," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menekankan bahawa kejayaan ini menandakan satu pencapaian penting dalam perjalanan Malaysia untuk menjadi negara yang dipacu secara digital, sambil menambah bahawa ia juga mencerminkan kesedaran dan semangat rakyat Malaysia dalam mengadaptasi teknologi digital.
Mohd Mirza berkata bahawa ketika Malaysia meningkatkan transformasi digitalnya, MyDigital ID berfungsi sebagai kunci digital yang dipercayai, menawarkan akses yang lebih cepat, selamat, dan mudah kepada perkhidmatan penting sambil melindungi privasi dan integriti data pengguna.
"Pada masa ini, aplikasi MyDigital ID telah diintegrasikan dengan beberapa aplikasi kerajaan seperti Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) Mobile, MySejahtera, portal MyGov, serta MyJPJ. Platform ini juga akan mengintegrasikan aplikasi popular pada masa terdekat," tambahnya.
Perkhidmatan menyeluruh MyDigital ID termasuk akses kepada perkhidmatan e-kerajaan yang selamat, selain perbankan, telekomunikasi dan penjagaan kesihatan.
Untuk mendaftar, pengguna boleh memuat turun aplikasi MyDigital ID dari Google Play Store atau Apple App Store dan mendaftar tanpa perlu mengunjungi kios. Setelah pendaftaran, rakyat Malaysia dapat log masuk ke pelbagai aplikasi dan portal menggunakan satu sistem pengesahan, menjadikannya lebih mudah untuk mengurus akses.
Beliau juga berkata bahawa sistem MyDigital ID mengesahkan identiti pengguna untuk platform dan transaksi kerajaan tanpa mengumpul data peribadi. Sebaliknya, ia membandingkan butiran dari MyKad dan ciri-ciri cap jari atau wajah pengguna dengan rekod sedia ada dari agensi seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) semasa proses pendaftaran.
"Pelaksanaan MyDigital ID menandakan langkah penting ke arah persekitaran digital yang lebih mesra pengguna dan selamat, selaras dengan visi kerajaan untuk memanfaatkan teknologi bagi memberdayakan rakyatnya.
"MyDigital ID Sdn Bhd juga ingin menekankan dan menyakinkan kepada rakyat Malaysia bahawa MyDigital ID tidak menyimpan sebarang data biometrik pengguna.
"Ia juga tidak mengumpul, memantau, atau menyimpan data peribadi, sambil memastikan pengguna tidak mempunyai lebih daripada satu identiti digital sebagai langkah keselamatan," tambahnya.
-- BERNAMA