MyCC tubuh pasukan khas siasat kemungkinan wujud kartel dalam industri ayam, telur ayam
Ridauddin Daud
Februari 1, 2022 14:58 MYT
Februari 1, 2022 14:58 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah menubuhkan satu pasukan khas untuk menyiasat sehingga ke akar umbi isu persaingan dalam industri ayam dan telur di Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Iskandar Ismail berkata, tindakan itu adalah selaras dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengarahkan MyCC menyiasat isu tersebut dalam usaha menyelesaikan kenaikan harga ayam dan telur ayam.
Bahkan, tegasnya, MyCC juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Persaingan 2010.
“Kalau terdapat bukti ada sabotaj ekonomi yang telah dilakukan mana-mana pihak dalam industri ini melalui elemen kartel, salah guna kuasa atau monopoli, kami akan kenakan tindakan tegas.
“Tindakan diambil menerusi kuasa diberi kepada kami di bawah Akta Persaingan 2010. Tindakan ini termasuk mengenakan penalti maksimum dan tindakan lain.
“Ia bagi memastikan penindasan ini dihentikan sama sekali demi kepentingan rakyat,” katanya ketika bersiaran langsung dalam Buletin AWANI pada Selasa.
Tambah beliau, meskipun pasaran industri itu sangat luas, namun Iskandar menegaskan, siasatan MyCC akan memberi tumpuan terhadap semua pemain industri.
“Kita kena faham industri ayam dan telur ini merangkumi banyak pemain industri di seluruh Malaysia. Mereka banyak tertumpu di Pantai Barat Semenanjung dan ada yang beroperasi di Sabah dan Sarawak.
“Fokusnya adalah kepada semua pemain industri ayam dan telur yang banyak beroperasi di Pantai Barat Semenanjung. Kita akan lihat satu-persatu, apa yang dilakukan mereka selama ini,” ujarnya.
Ismail Sabri pada Isnin memaklumkan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) memutuskan untuk mengarahkan MyCC untuk menyiasat kemungkinan wujudnya kartel membabitkan isu harga ayam dan telur ayam.
Keputusan itu merupakan satu daripada sembilan keputusan diambil NACCOL dalam usaha mengawal kenaikan harga dua barangan itu di pasaran.