MyCC sedia bincang dengan KPB mengenai isu persaingan padi dan beras

Bernama
Januari 10, 2024 06:15 MYT
MyCC belum memulakan sebarang siasatan terhadap mana-mana pihak dalam industri padi dan beras dan masih belum menerima apa-apa maklumat, khususnya daripada Pejabat Kawalselia Padi dan Beras.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedia berbincang dengan Pejabat Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, mengenai isu-isu berkaitan industri padi dan beras.
MyCC dalam kenyataan semalam berkata suruhanjaya itu telah menyerahkan surat kepada KPB Oktober lepas, menyatakan kesediaan untuk berbincang mengenai isu itu, agar mereka dapat memberikan input mengenai sebarang kebimbangan berkaitan persaingan.
Menurutnya MyCC belum memulakan sebarang siasatan terhadap mana-mana pihak dalam industri ini dan masih belum menerima apa-apa maklumat daripada mana-mana pihak, khususnya KPB.
"Bagaimanapun kami ingin mengesahkan bahawa KPB akan bertemu MyCC pada 19 Jan 2024," menurut kenyataan itu semalam.
Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada laporan berita bahawa MyCC bersedia untuk menyiasat beberapa siri dakwaan mengenai industri padi dan beras dalam negara.
MyCC juga menggesa semua pihak terutamanya media supaya berhati-hati, dan berhenti membuat sebarang spekulasi lebih-lebih lagi apabila KPB telah mengeluarkan kenyataan rasmi pada 4 Jan lepas yang menyatakan bahawa hasil penemuan mereka, tiada isu persaingan yang berkaitan dengan industri padi dan beras.
-- BERNAMA
#MyCC #industri padi dan beras #siasatan #Pejabat Kawalselia Padi dan Beras
;