MyCC lancar rundingan awam dalam talian bagi pindaan Akta Persaingan 2010

Bernama
Mei 26, 2022 05:01 MYT
Nanta berkata, langkah pindaan itu diambil bagi memastikan MyCC dapat melaksanakan fungsi berkanunnya dengan berkesan bagi menggalakkan dan melindungi proses persaingan dalam pasaran. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) telah melancarkan sesi rundingan awam dalam talian bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas orang ramai serta pihak berkepentingan mengenai cadangan pindaan Akta Persaingan 2010.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan berkata langkah pindaan itu diambil bagi menjadikan undang-undang persaingan Malaysia lebih komprehensif dan selaras dengan amalan antarabangsa.
Nanta berkata ia juga bagi memastikan MyCC dapat melaksanakan fungsi berkanunnya dengan berkesan bagi menggalakkan dan melindungi proses persaingan dalam pasaran.
"Pindaan Akta Persaingan 2010 termasuk pindaan peruntukan berkaitan penyiasatan dan kuasa penguatkuasaan dan pengenalan rejim kawalan penggabungan akan memberikan MyCC kuasa untuk menilai dan menyiasat transaksi penggabungan yang berpotensi menyebabkan penumpuan pasaran.
"MyCC telah melancarkan rundingan awam dalam talian pada 25 April 2022 dan akan menerima input dan pandangan daripada orang ramai dan pihak berkepentingan yang berkaitan hingga 27 Mei 2022. MyCC juga akan mengadakan dua sesi rundingan awam fizikal yang berasingan untuk agensi kerajaan dan orang ramai. Sesi ini dijadualkan pada 7 dan 8 Jun 2022," katanya.
Menegaskan penguatkuasaan yang kukuh adalah penting bagi perundangan yang berkesan, Nanta berkata impak Akta Persaingan 2010 bergantung kepada pelaksanaannya yang berkesan, melalui sistem penguatkuasaan yang kukuh dan berteraskan kepada sumber yang mencukupi.
"Ini penting untuk memastikan semua instrumen persaingan digunakan dengan bersesuaian.
"Justeru, sebarang komen dan maklum balas daripada orang ramai adalah penting bagi MyCC untuk mengorak langkah ke hadapan bagi menentukan landskap perundangan persaingan tempatan," katanya.
Salinan pindaan tersebut dan maklumat penting berkenaan pelaksanaan pindaan undang-undang itu boleh didapati di laman web MyCC di www.mycc.gov.my.
Maklumat lanjut mengenai sesi rundingan awam dalam talian dan fizikal MyCC juga boleh didapati di laman web yang sama.
-- BERNAMA
#Alexander Nanta Linggi #Akta Persaingan 2010 #MyCC #rundingan awam
;