MYCC kenakan penalti kewangan terhadap tujuh pusat tuisyen dan penjagaan
Bernama
Oktober 29, 2018 11:45 MYT
Oktober 29, 2018 11:45 MYT
Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenakan penalti kewangan RM33,068.85 secara kolektif terhadap tujuh pusat tuisyen dan pusat penjagaan harian di kawasan SS19, Subang Jaya, kerana terlibat dalam aktiviti penetapan harga.
MyCC berkata, tujuh pengusaha tersebut telah melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) dengan memasuki perjanjian pada Mei 2017 untuk menetap dan menyeragamkan secara kolektif yuran yang dikenakan untuk perkhidmatan tuisyen dan penjagaan harian yang diberikan oleh pusat masing-masing.
Dalam keputusannya itu, MyCC berkata setiap syarikat terbabit diberi masa tiga puluh hari dari tarikh keputusan untuk membayar penalti kewangan yang dikenakan.
Kesemua pihak terbabit juga dikehendaki untuk menghentikan segera kegiatan penetapan harga dan menolak perjanjian penetapan harga dengan serta-merta.
Mereka juga dikehendaki untuk mendaftar dan melengkapkan kursus e-Pembelajaran mengenai pematuhan persaingan bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana dalam tempoh satu bulan dari keputusan ini dikeluarkan.
Suruhanjaya itu berkata keputusan dibuat selepas mempertimbangkan penghujahan bertulis dan representasi lisan oleh pengusaha terbabit.
"Penetapan harga adalah perlakuan kartel yang serius. Ia memberi kesan kepada rakyat dan memaksa pengguna membayar harga yang tidak perlu.
"Suruhanjaya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras terhadap mana-mana kartel untuk melindungi pengguna," kata Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail, dalam satu kenyataan hari ini.
Layari laman www.mycc.gov.my untuk maklumat lanjut.
-- BERNAMA
#Akta Persaingan
#Iskandar Ismail
#kartel
#kewangan
#MyCC
#penalti
#penetapan harga
#penjagaan harian
#Suruhanjaya Persaingan Malaysia
#tuisyen